AKSI Hidilyn yang membolehkannya meraih emas acara 55kg. FOTO AFP
AKSI Hidilyn yang membolehkannya meraih emas acara 55kg. FOTO AFP
Syazwan

Kuala Lumpur: Ramai yang tidak mengetahui atlet angkat berat Filipina yang juga pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 Hidilyn Diaz sebenarnya adalah 'hantu' durian dan asam pedas sepanjang tempoh berada di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka.

Malah, atlet berkenaan kerap makan dua raja buah itu dan juga makanan yang sinonim dengan masyarakat Melaka sebelum berangkat ke Tokyo untuk mengharungi cabaran di temasya Olimpik.

Berkongsi pengalaman itu, Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah, walaupun Hidilyn cukup menjaga pemakanannya termasuk menimbang jumlah makanan setiap hari namun tetap kalah kepada durian dan asam pedas.

GELAGAT Hidilyan mengopek durian di Jasin.
GELAGAT Hidilyan mengopek durian di Jasin.

Katanya, atlet berkenaan sanggup ke kedai berhampiran atau ke tempat lain semata-mata mahu mencari asam pedas jika teringin untuk merasainya.

"Hidilyn cukup menjaga pemakanannya setiap hari dengan menimbang jumlah nasi dan daging yang dimakannya supaya sesuai dengan situasi sebagai atlet untuk ke temasya Olimpik.

"Namun, ada dua makanan dia tak boleh tahan iaitu durian dan asam pedas kerana atlet berkenaan memang 'gila' sejak duduk di kampung ini (Kesang Tua)," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Hidilyn Diaz melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama Filipina memenangi pingat emas pada temasya sukan Olimpik.

Hidilyn yang kini berusia 30 tahun mengucup kilauan emas apabila memenangi kategori 55 kilogram (kg) wanita di venue Tokyo International Forum.

Selain itu, Janius yang juga bapa angkat kepada Hidilyn berkata, kebanyakan orang kampung tidak mempercayai atlet berkenaan dalam usaha persiapan ke temasya Olimpik apabila melihat keadaan dan situasinya yang serba kekurangan.

"Bayangkan berlatih di garaj kereta dengan peralatan tidak cukup lengkap dan hanya menginap di rumah kampung sudah tentu tiada siapa yang percaya dia adalah atlet yang akan ke Olimpik.

"Namun dia berjaya membuktikan setiap halangan dan rintangan termasuk kekurangan yang ada sebenarnya adalah peniup semangat untuk mengecapi kejayaan. Dia ada beritahu bahawa matlamatnya ke Olimpik bukannya hanya mahu jadi peserta semata-mata namun memenangi emas sekali gus dapat membanggakan banyak pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 2:10 PM