PANDELELA (kiri) dan Mun Yee menduduki tempat keempat dalam acara 10m platform seirama di Tokyo Jepun hari ini. FOTO AFP
PANDELELA (kiri) dan Mun Yee menduduki tempat keempat dalam acara 10m platform seirama di Tokyo Jepun hari ini. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Gandingan penerjun sensasi negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee boleh dikatakan kurang menyengat apabila sekadar meraih tempat keempat dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada aksi final Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, Jepun, hari ini.

Walaupun pada peringkat awal, pasangan negara terbabit bermula baik dengan mendahului tiga terjunan pertama namun dipintas pada dua baki terjunan terakhir untuk sekadar menamatkan saingan di tempat keempat menerusi 288.36 mata.

Pingat emas acara itu dimenangi gandingan Kanada, Caeli McKay-Meaghan Benfeito yang mengumpul 305.94 mata manakala Lois Toulson-Eden Cheng dari Britain meraih perak dengan 302.88 mata.

Gangsa menjadi milik gandingan penerjun Jerman, Tina Punzel-Christina Wassen yang mengumpul 292.86 mata.

Keputusan terbabit tidak memberi tekanan kepada pasangan terbabit berikutan mereka sudah pun layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan dalam acara itu selepas meraih perak pada Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan pada Julai 2019.

Pandelela mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan, hari ini apabila bakal beraksi dalam acara 10m platform individu wanita, Selasa ini.

Dia yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Tokyo dalam acara berkenaan meraih gangsa pada edisi 2018 di Wuhan, China.

Benfeito dan McKay yang juga kedua-duanya pemenang pingat Olimpik dijangka menjadi pencabar utama buat atlet berasal dari Sarawak dalam acara 10m platform individu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 5:21 PM