ORANG ramai menyaksikan persembahan bunga api pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik, malam ini. FOTO AFP
ORANG ramai menyaksikan persembahan bunga api pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik, malam ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Kazunori Takishima membelanjakan RM162,000 (AS$40,000) untuk membeli tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020, tetapi larangan penonton ke stadium menyebabkan dia sekadar menyaksikan upacara pembukaan di Stadium Olimpik menerusi telefon bimbit.

Pada ketika mercun dan bunga api meletup di ruang udara dan penonton lain menjerit serta bertepuk tangan, Takishima dipenuhi perasaan sebak dan linangan air mata.

"Saya lega apabila upacara pembukaan sudah selesai. Saya sangat gembira," katanya.

"Ramai orang yang cintakan Sukan Olimpik."

Ahli perniagaan Jepun itu hadir ke semua Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk sejak 15 tahun lalu dan berharap dapat memecahkan rekod dunia dengan memiliki tiket acara Olimpik terbanyak dalam hidup.

Memandangkan Tokyo 2020 berlangsung di negara sendiri, dia membeli 197 tiket untuk diri sendiri dan rakannya.

Tetapi, penganjur membuat keputusan menghalang penonton ke hampir semua gelanggang acara kerana Covid-19 dan Takishima membuat keputusan menyaksikan upacara pembukaan di luar stadium yang mampu memuatkan 68,000 penonton itu.

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati temasya itu akan dilangsungkan tanpa penonton dan masih tidak dapat menerima kenyataan itu.

"Saya masih terfikir sekiranya mungkin boleh masuk ke sesetengah gelanggang pertandingan," katanya yang berusia 45 tahun.

Wang Takishima akan dipulangkan semula, tetapi tiada apa dapat menggantikan kegagalan menyokong atlet Jepun bertanding di tanah air sendiri.

Dia bercadang memberikan tiket itu kepada pekerjanya yang tidak pernah berpeluang menyaksikan Olimpik sebelum ini.

Kali pertama Takishima menyaksikan temasya Olimpik adalah Olimpik Musim Sejuk di Turin pada 2006, apabila penonton tidak dikenali mengucapkan tahniah kepadanya selepas peluncur salji Jepun, Shizuka Arakawa menang pingat emas.

Dia bercadang menyaksikan 28 acara kali ini, untuk merekodkan 134 acara seumur hidup dan mengatasi rekod dunia 128 acara pernah ditonton seorang lagi peminat setia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 10:03 PM