TSUBATA diberi penghormatan untuk menjadi individu pertama muncul di upacara perasmian Olimpik Tokyo 2020. FOTO AFP
TSUBATA diberi penghormatan untuk menjadi individu pertama muncul di upacara perasmian Olimpik Tokyo 2020. FOTO AFP
Agensi

Tokyo: Jururawat dan petinju profesional Jepun, Arisa Tsubata menjadi tumpuan selepas dia berada melancarkan pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan berlari di atas treadmill selama lima minit.

Impian atlet berusia 27 tahun itu untuk beraksi di Olimpik di laman sendiri berkecai selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membatalkan kejohanan kelayakan untuk acara tinju dan memilih mereka yang layak berdasarkan ranking dunia.

Tsubata, yang beraksi di kelas middleweight, muncul juara kebangsaan selepas dua tahun terbabit dengan sukan berkenaan namun keputusan IOC itu bermakna dia gagal melayakkan diri sekali gus membuatkannya berasa kecewa.

Dia berlatih untuk menggapai impian melayakkan diri di antara waktu kerja sebagai jururawat dan mempersiapkan diri menjelang kelayakan pada Jun tahun lalu.

Selepas itu, dia berhenti kerja di hospital berkenaan dan sanggup menerima bayaran gaji lebih rendah untuk bekerja di klinik psikiatri kecil agar boleh memberi tumpuan kepada latihan.

Walaupun dirundung kekecewaan, dia masih lagi bersetuju untuk memegang watak di Upacara Perasmian di Tokyo, yang diadakan tanpa kehadiran penonton.

"Ia sangat mengecewakan, saya sudah bekerja keras selama setahun selepas Olimpik ini ditangguhkan dan saya sangat kecewa kerana tidak memperoleh hak untuk bertarung," katanya.

Malam tadi Tsubata adalah individu pertama yang muncul di perasmian berkenaan, berlari di atas treadmill berseorangan tatkala penari mengelilinginya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 11:24 PM