STADIUM Nasional yang berwajah baharu menjadi lokasi perasmian pembukaan dan penutup Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO REUTERS
STADIUM Nasional yang berwajah baharu menjadi lokasi perasmian pembukaan dan penutup Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO REUTERS
Reuters

Tokyo: Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada 2021 selepas ditangguhkan setahun kerana pandemik Covid-19 menelan belanja 1.42 trillion yen (RM45.77 bilion), hampir sekali ganda daripada nilai ketika membida acara itu, berdasarkan laporan kewangan akhir.

Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 bermesyuarat semalam dan dijangka dibubarkan pada hujung bulan ini.

Tokyo mendapat hak penganjuran pada 2013, menawarkan 'sepasang tangan selamat' dan sejumlah wang sudah berada di dalam bank.

Bagaimanapun, kos meningkat mendadak sebelum acara diadakan termasuk membina semula Stadium Nasional baharu yang digunakan untuk upacara perasmian pembukaan dan penutup serta acara trek dan padang.

Kos turut meningkat susulan penangguhan temasya itu selama setahun dan langkah diambil untuk mencegah penularan wabak Covid-19 sebelum akhirnya ia diadakan tanpa penonton pada 2021.

"Dalam usaha menangani kesukaran yang tidak dijangka, semua pihak bekerjasama erat untuk menjayakan Olimpik Tokyo 2020 dalam keadaan selamat dan terkawal," kata presiden jawatankuasa penganjur, Seiko Hashimoto pada sidang media.

Sapporo iaitu ibu negara Hokkaido kini sedang membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 10:44 AM