JAGUH memanah negara, Khairul Anuar Mohamad ketika beraksi di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
JAGUH memanah negara, Khairul Anuar Mohamad ketika beraksi di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi cemerlang atlet memanah negara dengan hampir menundukkan lawan di ranking lebih baik mengejutkan ramai pihak, sekali gus mampu mencipta kegemilangan pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pujian harus diberikan kepada pasukan memanah negara berdasarkan prestasi cukup cemerlang terutama membabitkan pemanah muda wanita, Syaqiera Mashayikh.

Beliau berkata, Syaqiera yang kali pertama beraksi di Sukan Olimpik hampir mengejutkan peserta di ranking lebih baik, sekali gus memberi amaran dia bakal melakukan kejutan pada temasya akan datang.

"Pujian harus diberikan kepada pasukan memanah negara kerana menunjukkan prestasi terbaik ketika menentang lawan masing-masing.

"Kita boleh melihat Syaqiera berjaya memecah rekod peribadi dengan catatan 630 dalam saingan penentuan ranking.

"Pada peringkat penyingkiran pula di kedudukan 32 bertemu dengan lawan di ranking empat dunia, sekali gus pencapaian Syaqiera cukup bermakna untuk pasukan memanah negara.

"Bakatnya boleh dikembangkan untuk Olimpik akan datang," katanya.

Terdahulu, atlet berasal dari Segamat, Johor itu, mempamerkan panahan cemerlang sebelum tewas 4-6 kepada peserta dari Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC), Elena Osipova, dalam pusingan 32 acara recurve individu wanita.

Atlet berusia 21 tahun itu memulakan saingan pertama pusingan kalah mati di Lapangan Memanah Yumenoshima Park dengan panahan terbaiknya untuk memenangi set pembukaan 26-25.

Bagaimanapun, lawannya yang memenangi pingat perak dalam acara berpasukan wanita, kembali mengikat kedudukan 2-2 hasil kemenangan 28-26 dalam set kedua.

Dalam set penentuan, Osipova melakukan dua panahan 10 mata untuk menyingkirkan Syaqiera dengan keputusan 29-23 selepas kedua-duanya turut mencatatkan keputusan seri pada set ketiga dan kempat.

Sementara itu, Reezal turut tersenyum melihat keupayaan jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad bangkit daripada ketinggalan untuk menang dalam dua penentuan shoot-off seterusnya mara ke pusingan 16 terbaik di Olimpik Tokyo 2020.

Reezal berkata, pertarungan Khairul dengan lawannya cukup mendebarkan, namun atlet berkenaan cemerlang dengan mengakhiri pertembungan dengan keputusan memihak kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 5:29 PM