PERENANG Sweden, Sarah Sjostrom berlatih di Pusat Akuatik Tokyo menjelang permulaan acara renang. FOTO EPA
PERENANG Sweden, Sarah Sjostrom berlatih di Pusat Akuatik Tokyo menjelang permulaan acara renang. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Perenang Sweden, Sarah Sjostrom berkata, dia menang perlawanan gusti lengan dengan atlet lempar cakera, minggu ini dan mahu melengkapkan kebangkitan semula selepas patah siku dengan menang pingat emas di Tokyo 2020.

"Saya bergusti lengan dengan lelaki paling besar dalam pasukan Sweden dan saya menang dan gembira dengan keadaan itu," kata Sjostrom, hari ini.

Sebelum itu, dia memuat naik video di Instagram mengenai kejayaan menewaskan juara dunia lempar cakera dari Sweden, Daniel Stahl di Perkampungan Olimpik.

Ditanya sama ada kemenangan itu meningkatkan keyakinan mengenai situasi terkini lengan kanannya, dia berkata: "Sudah tentu. Ia adalah kemenangan terbesar saya di Olimpik."

Sjostrom adalah antara perenang terpantas di dunia selepas menang emas acara 100m kuak kupu-kupu di Rio dan mencipta rekod dunia bagi acara gaya bebas 50m dan 100m.

Tetapi peluang perenang berusia 27 tahun itu cemerlang di Jepun terutama acara kuak kupu-kupu, terbatas selepas tergelincir di atas ais di Stockholm pada Februari lalu dan siku kanannya retak.

Pembedahan memasukkan besi dan enam skru terpaksa dilakukan dan masih terdapat kesan parut pada tangannya menyebabkan dia membuat tatu gelung Olimpik dan bendera Sweden.

"Ia adalah tempoh panjang dan saya berharap dapat berlatih beberapa minggu lagi, tapi ia tidak menjadi kenyataan. Saya di Jepun sekarang dan melalui persiapan saat akhir yang baik," kata Sjostrom.

"Saya tidak merasa sakit lagi dan sentiasa meningkat sejak Februari lalu hingga sekarang. Saya sangat gembira dengan perkembangan itu."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 9:45 PM