JEREMIAH
JEREMIAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Khabar gembira buat kem gimnastik negara apabila kemungkinan seorang lagi gimnas Malaysia layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo berdasarkan kepada merit yang diperoleh atlet berkenaan.

Atlet gimnastik artistik negara Jeremiah Phay Xing Loo dikatakan sudah layak menempatkan diri ke Olimpik sekali gus berpeluang cerah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Walaupun belum ada lagi kenyataan rasmi berkaitan perkara terbabit, situasi berkenaan memberi khabar gembira buat industri sukan tanah air untuk melihat lebih ramai atlet Malaysia beraksi di Sukan Olimpik terbabit.

Setiausaha Kehormat Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril ketika dihubungi Arena Metro enggan mengesahkan penyertaan Jeremiah ke Sukan Olimpik jika belum mendapat kenyataan rasmi daripada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).

Beliau berkata, walaupun melihat kepada situasi semasa Jeremiah seolah sudah sebelah kaki layak ke Olimpik namun adalah lebih baik jika mendapat pengesahan terlebih dahulu daripada badan induk gimnastik antarabangsa itu.

"Lebih baik tunggu kenyataan rasmi atau pengumuman daripada FIG kerana tidak mahu nanti ada perubahan pada saat akhir. Kemungkinan FIG akan mengumumkan perkara terbabit sebaik tamat kejohanan Piala Dunia yang sedang berlangsung di Mesir ketika ini," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini hanya seorang saja gimnas negara iaitu Farah Ann Abdul Hadi sudah menempah tiket ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:30 AM