Aksi atlet gimnastik negara, Jeremiah Loo Phay Xing. FOTO Agensi
Aksi atlet gimnastik negara, Jeremiah Loo Phay Xing. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing tetap berpuas hati dengan persembahannya walaupun gagal mencipta kejutan melangkah ke pusingan seterusnya.

Jeremiah yang sekadar meraih tempat ke 19 dalam saingan kumpulan pertama semalam berazam mahu tampil lebih meyakinkan pada temasya Olimpik Paris 2024.

Katanya, dia sudah melakukan yang terbaik namun mengakui persembahannya itu belum cukup untuk berada dalam kelompok terbaik.

"Saya sudah berikan yang terbaik pada persembahan itu seperti yang biasa praktikkan ketika sesi latihan selama sebulan lalu.

"Jika diikutkan, saya mengetahuinya (layak ke Oliimpik) sebulan sebelum hari pertandingan dan sudah tentu banyak perkara perlu dilakukan dalam tempoh berkenaan.

"Sudah tentu, atlet daripada negara lain cukup hebat dan saya berharap dapat menempah tiket pada temasya Olimpik akan datang," katanya.

Terdahulu, hasrat atlet gimnastik artistik lelaki itu untuk mencipta kejutan layak ke pusingan seterusnya gagal apabila dia sekadar meraih tempat ke 19 dalam saingan kumpulan pertama.

Atlet negara yang membuat kemunculan pertama di pentas Olimpik itu mencatat 13.100 mata dalam senaman lantai dan 12.266 bagi aksi kekuda berpelana.

Dia kemudian mengutip 7.700 mata dalam gelang roman dan 12.466 mata untuk kategori melombol.

Saingan dalam palang sejajar menyaksikan Jeremiah yang berusia 23 tahun mengutip 10.200 mata manakala aksi palang tunggal dia meraih 11.766 mata.

Hanya 24 gimnas terbaik dengan maksimum dua wakil setiap negara layak ke final bagi acara individu all around yang akan berlangsung Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:39 PM