FARAH Ann sebelum ini pernah memaklumkan hasratnya untuk bersara. FOTO Bernama
FARAH Ann sebelum ini pernah memaklumkan hasratnya untuk bersara. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur : Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) mengesahkan masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi yang dimaklumkan ingin bersara daripada sukan itu.

Bagaimanapun Setiausaha Kehormat MGF, Afrita Ariany Nasril tidak menafikan perkhabaran itu apabila mendengar khabar berkenaan daripada jurulatih dan orang yang terdekat dengan ratu gimnastik negara itu.

Katanya, kali pertama berita mengenai keinginan Farah untuk bersara itu dimaklumkan ketika mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

"Hingga setakat ini, kami masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada Farah berhubung keinginannya itu.

"Tapi perkara itu sudah dimaklumkan oleh jurulatihnya. Malah Farah juga turut memaklumkan hasratnya bersara kepada beberapa rakan yang rapat dengannya.

"Jadi selagi kami belum menerima surat rasmi, persatuan tidak boleh membuat sebarang pengumuman," katanya.

Farah mencetuskan impak sensasi dalam sukan gimnastik negara dan menjadi atlet yang paling berjaya di temasya dwi tahunan apabila berjaya meraih tujuh emas bermula pada edisi 2015 di Singapura, 2017 Kuala Lumpur dan 2019 di Manila.

Justeru ditanya adakah ketiadaannya akan mengganggu perancangan skuad negara, Afrita berkata, MGF kini mempunyai plan B sekiranya berita persaraan Farah itu benar.

"Memang tidak dapat dinafikan jika ada Farah, kita mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang emas dalam acara berpasukan. Tapi kita juga perlu bersedia sekiranya tidak dapat menggunakan khidmatnya.

"Kita masih ada atlet yang berpotensi untuk menang emas dalam acara lain yang boleh disenaraikan dalam skuad," katanya yang memaklumkan MGF meletakkan sasaran empat emas, dua menerusi gimnastik artistik dan berirama.

Farah mencipta sejarah apabila menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens.

Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 9:31 PM