Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Petaling Jaya: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan terdapat pindaan kalendar Liga Malaysia musim 2021 bermula 23 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dibuat menerusi kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mengambil kira permohonan pasukan kebangsaan untuk mengadakan kem latihan pusat bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 serta pindaan jadual Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

Jelas Ab Ghani, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah mengumumkan tarikh baharu bagi saingan AFC ACL yang membabitkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di mana dipinda tarikh asal 21 April sehingga 7 Mei kepada 21 Jun sehingga 7 Julai.

Katanya lagi, pengurusan pasukan kebangsaan sudah memohon tarikh latihan pusat bermula pada 16 Mei sebagai persiapan awal bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 31 Mei sehingga 15 Jun yang turut menjadi antara salah satu faktor keputusan pindaan jadual Liga Malaysia dilakukan.

Sebagai rekod, JDT yang diundi di dalam Kumpulan G bersama Nagoya Grampus (Jepun), FC Pohang Steelers (Korea Selatan) dan Ratchaburi FC (Thailand) dijadualkan akan bermain secara berpusat di Thailand.

Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe memerhatikan latihan dilakukan pemain. FOTO File NSTP
Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe memerhatikan latihan dilakukan pemain. FOTO File NSTP

"MFL selepas mengadakan mesyuarat atas talian bersama kesemua CEO-CEO dan wakil kelab pada hari ini sudah memaklumkan mengenai perubahan yang berlaku dalam kalendar Liga Malaysia bermula 23 April ini.

"Jika berdasarkan jadual sebelum ini, pasukan Liga Super hanya bermain dua perlawanan dan pasukan Liga Perdana bermain tiga perlawanan sepanjang bulan Ramadan.

"Namun disebabkan perubahan berlaku membabitkan pertukaran jadual asal ACL serta permohonan daripada pasukan kebangsaan, kita terpaksa meminda jadual yang menyaksikan pasukan Liga Super akan bermain lima perlawanan sementara pasukan Liga Perdana akan bermain empat perlawanan sepanjang bulan Ramadan.

"Ini kerana MFL mengambil kira berkenaan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang membabitkan pasukan kebangsaan bermula 31 Mei sehingga 15 Jun.

"Selain daripada kejohanan ACL, tumpuan juga harus diberikan kepada wakil negara seperti Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC yang akan bermain kejohanan AFC secara berpusat di Singapura pada 22 sehingga 28 Jun.

"Pindaan tarikh turut dibuat kepada perlawanan Liga Perdana bagi memberi peluang kepada persiapan pasukan kebangsaan untuk menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada Jun di mana pemain daripada Liga Perdana turut akan terpilih ke pasukan kebangsaan nanti," katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam masa yang sama, Ab Ghani memberitahu pindaan tarikh tempoh pendaftaran kedua Liga Malaysia juga terpaksa dilakukan selepas menyaksikan perubahan terbaharu kalendar Liga Malaysia.

"Pindaan jadual akan menyebabkan pergerakan tarikh perlawanan Liga Super dan Liga Perdana dan memberikan kesan kepada tempoh pendaftaran kedua pemain.

"Saingan Liga Super bakal tamat 14 Ogos manakala Liga Perdana dijangka tamat pada 8 Ogos dan undian Piala Malaysia akan diadakan sebelum tamat liga dengan menggunakan nombor kedudukan liga bagi menentukan kedudukan posisi kelab dalam kumpulan untuk Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

"Justeru tarikh baharu bagi tempoh pendaftaran kedua pemain adalah bermula 3 Mei sehingga 30 Mei di mana tarikh asalnya adalah 5 Julai sehingga 1 Ogos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 7:59 PM