TERENGGANU FC sudah memulakan latihan secara kem berpusat. FOTO FB Terengganu FC
TERENGGANU FC sudah memulakan latihan secara kem berpusat. FOTO FB Terengganu FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan bahawa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan untuk meneruskan latihan secara kem berpusat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Latihan itu bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari seperti yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan media pada 28 Mei lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya mengucapkan penghargaan terima kasih di atas keprihatinan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengekalkan kelulusan yang sudah diberikan kepada pasukan-pasukan Liga-M meneruskan latihan ketika 'total lockdown' fasa pertama ini.

"MFL selaku pentadbir Liga-M ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan untuk memberikan kebenaran kepada pasukan-pasukan meneruskan latihan secara kem berpusat yang saya percaya akan memberikan kelegaan buat pasukan-pasukan dalam membuat persiapan sebelum liga kembali bersambung pada bulan Julai ini.

"Ia disebabkan penglibatan Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC selain penglibatan pemain-pemain yang bersama pasukan kebangsaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Selain daripada itu, MFL turut mengambil kira kuarantin selama 14 hari yang perlu dijalankan oleh pasukan yang terbabit apabila kembali ke ibu negara.

"Bukan itu sahaja, ia pasti banyak membantu pasukan khususnya JDT yang turut akan mengharungi kejohanan (ACL) bermula 21 Jun 2021 manakala KDA dan TFC (Piala AFC) pada 22 Jun ini.

"Bagaimanapun, demi keselamatan serta kesihatan pegawai dan pemain, hanya latihan pasukan berpusat sahaja dibenarkan bagi fasa pertama PKP ini. Lain-lain aktiviti seperti perlawanan persahabatan atau apa-apa aktiviti merentas daerah atau negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali sehingga diputuskan berlainan kelak," katanya.

Tambah Ghani, jika terhadap pasukan yang melanggar SOP ketat itu, pihaknya tidak teragak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pasukan berkenaan.

"Sebarang kecuaian atau pelanggaran SOP akan mengakibatkan pasukan boleh akan dikenakan tindakan oleh MFL atau Kerajaan Malaysia di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)," katanya.

Ujarnya lagi, pemakluman terkini berhubung PKP akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada semua pasukan selaras dengan arahan kerajaan.

Setakat hari ini, empat pasukan Liga Super iaitu JDT, KDA FC, Terengganu FC dan UiTM FC serta Terengganu FC II dan PDRM FC daripada Liga Perdana sudah mendapat kelulusan MFL untuk mengadakan latihan secara kem berpusat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:20 PM