Pemain TFC kini berkampung di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail menjalani latihan secara berpusat. FOTO Ihsan TFC
Pemain TFC kini berkampung di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail menjalani latihan secara berpusat. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mengharapkan berita gembira berkaitan penganjuran Piala AFC walaupun Singapura mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah bagi Kumpulan H dan I berikutan kebimbangan situasi semasa wabak pandemik Covid-19.

Pengurusnya, Zulfadli Rozi berkata, walaupun setakat ini belum ada lagi negara yang bertanding menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah, beliau berkeyakinan kejohanan itu tetap akan diadakan.

Namun beliau membayangkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada memilih negara lain menjadi tuan rumah ataupun menangguhkan aksi dua kumpulan berkenaan.

"Setakat ini belum ada lagi negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan termasuk Malaysia memandangkan proses permohonan yang rumit kerana membabitkan banyak pihak termasuk agensi keselamatan negara dan pihak kerajaan.

"Kita faham dengan kebimbangan situasi wabak pandemik Covid-19 semasa, namun masih berharap ada perkhabaran gembira daripada AFC untuk meneruskan kejohanan edisi ke-18 itu.

"Lagipun pasukan TFC sudah memulakan persiapan awal untuk bersaing dalam kejohanan peringkat Asia itu ditambah moral para pemain juga berada pada tahap terbaik selepas kali terakhir beraksi di pentas tertinggi itu pada 2012," katanya.

Semalam Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) mengumumkan menarik diri daripada menjadi tuan rumah berikutan kebimbangan peningkatan kes semasa Covid-19 di rantau ini.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang mengakhiri Liga Super di tempat ketiga musim lalu dijadualkan akan berlepas ke negara Kota Singa itu pada 20 Jun ini sebelum memulakan saingan pada 30 Jun.

Berdasarkan undian, skuad Penyu yang kini menghuni di tangga kedua Liga Super akan bertemu pasukan tuan rumah, Geylang International FC, Kaya FC-Iloilo (Filipina) serta pemenang 'playoff' antara Lalenok United FC (Timor Leste) dan kelab Kemboja, Visakha FC di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad TFC dan TFC II kini 'berkampung' di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin Kuala Nerus bagi mematuhi arahan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menyarankan latihan diadakan secara berpusat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 6:12 PM