NUR Azmi kecewa apabila jurulatih tempatan negara ini seperti karate tidak menerima tangga gaji yang sepatutnya. FOTO Owee Ah Chun
NUR Azmi kecewa apabila jurulatih tempatan negara ini seperti karate tidak menerima tangga gaji yang sepatutnya. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) berang dengan sikap Majlis Sukan Negara (MSN) apabila tidak memberi layanan secara adil kepada persatuan sukan yang dianggap tidak popular seperti mereka.

Perkara itu disuarakan Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad yang amat kecewa dengan layanan diberikan oleh MSN.

Azmi nyata tidak sependapat apabila MSN tidak menghargai keringat jurulatih tempatan dengan menawarkan tangga gaji jauh lebih rendah kepada mereka.

Beliau jelas kecewa apabila jurulatih tempatan negara ini seperti karate tidak menerima tangga gaji yang sepatutnya walaupun membantu negara merakam pencapaian cemerlang.

"Peruntukan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya mereka selaraskan mengikut pencapaian sukan. Ini tidak, kenaikan gaji jurulatih tempatan hanya lima peratus bagi tempoh dua tahun iaitu dalam RM140 saja.

"Kenapa jurulatih import boleh bayar mahal, tengok macam sukan-sukan lain yang glamour mereka diberi peruntukan besar dari aspek pembayaran gaji jurulatih, apa keistimewaan jurulatih itu.

"Makaf tidak menyambung kontrak jurulatih import dari Iran, Ali Reza yang menerima gaji RM18,000 sebulan sebab nak beri peluang kepada jurulatih tempatan dengan harapan sekurang-kurangnya jurulatih elit tempatan mendapat gaji RM5,000 seorang.

"Namun berbaloikah untuk jurulatih tempatan sekiranya gaji dibayar hanya bawah RM 4,000 tetapi nak prestasi bagus sama seperti jurulatih import.

"Kita kena jaga kebajikan jurulatih tempatan kerana periuk nasi mereka sepenuhnya bergantung kepada pendapatan dalam sukan.

"Saya berharap campur tangan Menteri Belia dan Sukan dalam hal ini," katanya.

Beliau berpendapat MSN harus memberi peruntukan itu dengan adil kepada semua persatuan sukan dan jangan semata-mata hanya tertumpu kepada sukan popular.

"Kita lihat MSN lebih fokus kepada sukan 'glamour'. Sebagai pemegang amanah untuk menyalurkan peruntukan, sepatutnya MSN mendengar perancangan dan pandangan kami, bukannya mereka yang putuskan ke semuanya.

"Kalau begitu lebih baik mereka yang melakukan kerja urus tadbir persatuan sukan. Ini saya tengok bila bercakap soal peruntukan sukan glamour lebih diberikan keutamaan walaupun tidak mempunyai pencapaian.

"Jika panggil mesyuarat tetapi tidak boleh menerima pandangan badan induk sesuatu sukan lebih baik jangan adakan mesyuarat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 7:44 PM