ALI (tengah) melakukan gimik pelancaran Kejohanan Karate Ke-31 Kadet, Remaja dan B-21 Kebangsaan 2023 di Stadium Juara hari ini. FOTO Bernama
ALI (tengah) melakukan gimik pelancaran Kejohanan Karate Ke-31 Kadet, Remaja dan B-21 Kebangsaan 2023 di Stadium Juara hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) mensasarkan untuk membuka akademi di enam zon seluruh negara bagi meneroka bakat baharu sukan karate, tahun depan.

Keenam-enam zon membabitkan kawasan utara, selatan, tengah, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Presiden Makaf Datuk Nur Azmi Ahmad berkata pihaknya akan memuktamadkan perancangan penubuhan akademi itu menerusi perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) seawal tahun depan.

Beliau berkata antara perkara yang bakal dimuktamadkan ialah mengenal pasti venue terpilih selain penetapan elaun jurulatih akademi itu.

"Program di akademi yang mensasarkan penyertaan pelajar sekolah menengah dari umur 13 hingga 17 tahun mungkin diadakan pada cuti sekolah. Disebabkan itu, pemilihan venue sangat penting... kami akan melihat sekolah dari enam zon terbabit yang mempunyai fasiliti seperti dewan dan hostel untuk menjayakan akademi ini," katanya.

Nur Azmi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan Kejohanan Karate Kadet, Remaja dan Bawah 21 (B-21) Kebangsaan Makaf 2023 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Presiden Kehormat Makaf Tun Mohd Ali Rustam di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata Makaf akan memilih 60 pelatih dari kesemua zon untuk diserap ke program pembangunan dan seterusnya berpotensi mewakili negara pada masa depan.

Nur Azmi juga berkata kejohanan tiga hari yang bermula hari ini bakal membuka ruang buat Makaf mencari 12 pelatih acara kumite serta 10 lagi bagi acara kata untuk diserap ke skuad pelapis kebangsaan.

Beliau berkata Makaf turut menghargai sokongan KPM, Kementerian Belia dan Sukan, MSN, ISN serta para penaja seperti QNET, Berjaya Corporation Berhad dan Tenaga Nasional Berhad bagi penganjuran kejohanan itu yang berakhir Ahad ini.

Sejumlah 523 atlet kadet, remaja dan B-21 daripada 32 kelab, persatuan serta negeri berentap pada edisi ke-31 kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 9:50 PM