KERETA yang dipandu Woods rosak teruk. FOTO EPA
KERETA yang dipandu Woods rosak teruk. FOTO EPA
AFP

Los Angeles: Tiger Woods mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah kakinya selepas keretanya terbabas sebelum terbalik beberapa kali berhampiran Los Angeles dan disifatkan bernasib baik masih terselamat.

Woods tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika insiden awal pagi itu dan perlu menjalani pembedahan, kata Ketua Polis Los Angeles, Alex Villanueva.

Tiada kenderaan atau penumpang lain yang terbabit dengan insiden kemalangan itu di lokasi yang sememangnya sering dikenali kerap berlakunya kemalangan sejak beberapa tahun lalu.

"Saya boleh katakan Woods sangat bernasib baik kerana dapat keluar dan masih hidup," kata timbalan polis, Carlos Gonzalez, individu pertama yang tiba di tempat kejadian.

Gonzalez mendapati Woods terperangkap di dalam keretanya tetapi masih sedar, tenang serta masih mengenali dirinya.

Tiger Woods. FOTO AFP
Tiger Woods. FOTO AFP

"Pada pemahaman saya, dia mengalami kecederaan serius di kedua-dua kakinya," kata ketua bomba Los Angeles, Daryl Osby yang mengesahkan Woods berada dalam keadaan stabil ketika itu.

Anggota bomba dan paramedik berjaya mengeluarkan Woods dari kereta SUV miliknya dan kemudian dikejarkan ke hospital yang menyaksikannya menjalani pembedahan.

Tiada bukti Woods di bawah pengaruh dadah atau alkohol, kata Villanueva yang menambah kes kemalangan itu masih dalam siasatan lanjut.

Woods, seorang daripada pemain golf paling berjaya di dunia, menang 15 kejuaraan utama.

Dia baru-baru ini menjalani pembedahan belakang buat kali kelima dan berkata belum pasti boleh bermain pada Kejuaraan Masters yang kali terakhir dimenangi pada 2019.

Menurut laporan TMZ, bintang berusia 45 tahun itu berada di kawasan itu untuk menghadiri kejohanan Genesis Invitational di Riviera Country Club.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 10:59 AM