MCGREGOR akan bertemu Poirier di UFC 257. FOTO AFP
MCGREGOR akan bertemu Poirier di UFC 257. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Conor McGregor akan kembali daripada persaraan untuk bertarung dengan Dustin Poirier pada Januari tahun depan, kata bintang seni bela campuran Ireland itu.

Menerusi kenyataan di laman web McGregor, TheMacLife.com, dia akan bertarung menerusi kategori 155 pound pada 23 Januari di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kenyataan itu berkata, McGregor sudah menandatangani perjanjian untuk bertarung dalam acara utama di UFC 257.

Poirier juga sudah menurunkan tandatangannya.

"Saya gembira dapat kembali dan melakukan apa yang saya cintai sekali lagi.

"Saya tidak sabar menghadapi cabaran baharu dibawa Dustin sejak pertarungan pertama kami, sambil menunjukkan kemampuan saya," kata McGregor.

McGregor, yang menewaskan Poirier dengan knockout di pusingan pertama pada tahun 2014, tidak beraksi sejak Januari lalu selepas menewaskan Donald Cerrone dalam tempoh hanya 40 saat.

McGregor, yang beberapa kali mengumumkan persaraannya tetapi kembali semula ke gelanggang oktagon, pada Julai lalu berkata dia sudah bersara sepenuhnya.

Bagaimanapun ramai tidak mempercayai kata-katanya dan McGregor terus dikaitkan dengan pertarungan menentang ikon tinju Filipina Manny Pacquiao sebelum mengesahkan pertemuan dengan Poirier.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 12:26 PM