McGregor (kiri) bersedia bertarung dengan Poirier.
McGregor (kiri) bersedia bertarung dengan Poirier.
Agensi

Las Vegas: UFC mengesahkan kepulangan Conor McGregor ke gelanggang oktagon untuk perlawanan menentang Dustin Poirier.

Kedua-dua atlet seni bela diri campuran (MMA) itu akan bertarung pada 23 Januari ini di UFC 257 dalam kategori lightweight yang tidak menawarkan gelaran.

UFC memuat naik poster perlawanan di media sosial, menyatakan yang pertarungan itu kini "rasmi".

Ia dijangka diadakan di Pulau Pertarungan di Abu Dhabi.

Sebelum ini, McGregor mudah menewaskan Poirier pada 2014, apabila mengatasi atlet Amerika Syarikat itu di pusingan pertama dengan tumbukan dalam tempoh satu minit 14 saat.

Poirier, 31, berpeluang menebus kekalahan terhadap McGregor yang kembali daripada persaraan.

McGregor mengumumkan persaraannya dari UFC pada Jun selepas dikatakan kecewa kerana tidak dipilih dalam pertarungan besar.

Namun dia kembali dan tampak berniat memburu gelaran lightweight yang ditinggalkan Khabib Nurmagomedov selepas atlet Rusia itu mengumumkan persaraan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 12:47 PM