AZRAI Aizad muncul penjaring terbanyak MHL musim ini apabila meledak 32 gol untuk TNB. FOTO ARKIB NSTP
AZRAI Aizad muncul penjaring terbanyak MHL musim ini apabila meledak 32 gol untuk TNB. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyerang skuad hoki negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjadikan pemain berstatus bintang, Faizal Saari sebagai idolanya sehingga membantunya menjadi antara pemain sering diberi kepercayaan membarisi skuad kebangsaan.

Dengan statusnya selaku penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini selepas meledak 32 gol bersama pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Azrai Aizad sekali lagi memikat hati ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh untuk berada dalam senarai barisan 30 pelatih Speedy Tigers.

Dia berharap dapat terpilih dalam senarai 18 pemain terakhir untuk menggalas tugas di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 yang bakal membuka tirainya 4 Mei ini.

"Saya sentiasa berusaha keras dan memberi segalanya dalam latihan bagi merebut tempat dalam senarai 18 terbaik. Semua pemain turut melakukan perkara sama dan persaingan sihat untuk kami.

"Terpilih atau tidak semuanya terpulang kepada jurulatih dalam membentuk pasukan terbaik bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah.

"Memang (Faizal) banyak membantu saya dulu, saya memang sudah lama menjadikan corak permainan Faizal sebagai ikutan, jadi ia sedikit sebanyak membantu saya menyesuaikan diri sehingga sekarang," katanya.

Bagi Sarjit, Azrai sememangnya pemain yang bagus dan mampu menjadi permata berharga buat skuad kebangsaan pada masa akan datang.

"Dia (Azrai) pemain yang amat berbakat. Saya harap Azrai boleh menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding di liga.

"Pada pandangan saya, Azrai seorang pemain yang berusaha keras dalam mencapai impiannya. Pemain semuda itu dengan bakat dia meledak gol, saya pasti dia menjadi tonggak utama untuk masa depan skuad negara," kata Sarjit.

Kemampuan Azrai Aizad menyempurnakan peluang bukan perkara asing dalam kancah hoki negara pada ketika ini kerana dia antara nama yang sering mendapat perhatian kepada bekas pengendali skuad negara, Arul Selvaraj.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:58 PM