ARUL masih belum buat keputusan sama ada ingin memohon kembali jawatan ketua jurulatih hoki negara. -FOTO NSTP
ARUL masih belum buat keputusan sama ada ingin memohon kembali jawatan ketua jurulatih hoki negara. -FOTO NSTP
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, A Arul Selvaraj masih berteka-teki sama ada akan kembali memohon jawatan itu atau tidak.

Arul ketika ini berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan lagi.

"Maaf, saya belum buat keputusan lagi," katanya.

Perkara itu jelas menimbulkan tanda tanya berhubung siapakah yang akan bertanggungjawab untuk membawa skuad hoki selepas ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada 6 Februari lalu mengiklankan kekosongan jawatan bagi ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan selepas pasukan kebangsaan dibubarkan hujung lalu.

Terdahulu Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal memaklumkan bahawa untuk membuka jawatan itu kepada mana-mana individu yang berminat.

Keputusannya itu akan diumumkan dalam tempoh sebulan selepas tarikh tutup iaitu sekitar bulan Mac ini.

Arul mula dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Speedy Tigers pada Ogos 2020 dengan misi utama adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Kehadiran Arul memberikan impak kepada skuad hoki negara apabila dia Speedy Tigers muncul juara Piala Sultan Azlan Shah 2022 selain naib juara Trofi Juara-Juara Asia di Chennai, India, tahun lalu.

Namun Malaysia gagal melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu yang menjanjikan slot automatik ke Paris apabila sekadar mengakhiri saingan di tempat keenam.

Malah, skuad negara juga gagal memanfaatkan 'talian hayat' kedua di pusingan kelayakan di Muscat, Oman apabila mengakhiri saingan di kedudukan kelima, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 3:10 PM