SKUAD negara akan bertemu China, esok. FOTO IHSAN MHC
SKUAD negara akan bertemu China, esok. FOTO IHSAN MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara berpeluang untuk membalas dendam ke atas China apabila bertemu pasukan itu pada aksi pembuka tirai Kumpulan A pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman, esok.

Ia adalah peluang terbaik buat pasukan bimbingan A Arul Selvaraj membalas dendam ke atas China yang memusnahkan impian Malaysia bagi memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, Ogos lalu sekali gus gagal layak secara automatik ke Paris.

Mereka sekadar mencatat keputusan seri 4-4 dengan China dalam aksi terakhir Kumpulan B di Sukan Asia Hangzhou sekali gus mengakhiri peluang Malaysia bagi mengesahkan slot awal ke Paris.

Pengurus skuad negara, Datuk Mirnawan Nawawi optimis barisan pemain negara mampu mencatat keputusan positif pada pertemuan pertama dengan China yang disifatkan aksi wajib menang.

"Semua sedar yang kemenangan ke atas China adalah langkah pertama kita untuk ke Paris dan kita tidak boleh gagal dalam perlawanan pertama.

"Kita perlu mengutip tiga mata menentang China dan selepas itu rangka strategi untuk berdepan Great Britain," kata Mirnawan.

Sehari selepas menentang China, Malaysia akan bertemu Great Britain sebelum menentang Pakistan pada aksi terakhir kumpulan pada 18 Januari.

Dengan peluang dijangka sukar untuk menang ke atas Great Britain, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain turut perlu wajib memenangi aksi bertemu Pakistan untuk berada di kedudukan dua teratas kumpulan sekali gus layak ke separuh akhir.

Tiga pasukan terbaik pada kejohanan kali ini layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 5:58 PM