PEMAIN Australia meraikan kejayaan setelah menewaskan  Chile. FOTO Bernama
PEMAIN Australia meraikan kejayaan setelah menewaskan Chile. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Australia menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Remaja selepas mudah membelasah Chile 7-1 pada perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Tewas tipis 0-1 di tangan juara bertahan, Argentina semalam, skuad bimbingan Jay Stacy jelas mahukan kemenangan apabila terus mengasak lawan sejak awal permainan.

Hasilnya mereka memperoleh gol pertama minit ke-11 menerusi jaringan padang Cooper Burns namun Chile berjaya menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan pukulan sudut penalti minit ke-14 yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Joaquin Munoz.

Ketika Chile seakan mampu memberi tentangan, Australia tidak menunggu lama untuk kembali di depan hasil gol padang Brodee Foster minit ke-17 dan tiga minit selepas itu, giliran Craig Marais menewaskan penjaga gol Chile, Teodoro Sinning.

Cambell Geddes meletakkan Australia selesa dengan kelebihan 4-1 sebelum rehat separuh masa pertama apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-30.

Bersambung separuh masa kedua, Will Mathison menambah gol kelima Australia menerusi pukulan sudut penalti minit ke-47.

Marais kemudian menjaringkan dua gol pantas minit ke-52 dan 53 sekali gus hatrik untuknya pada perlawanan berkenaan.

Kekalahan kali kedua selepas turut dibelasah Malaysia 7-1 semalam menyaksikan peluang Chile untuk mara ke suku akhir sudah tertutup rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 8:55 PM