AMIN Rahim - FOTO Aizuddin Saad
AMIN Rahim - FOTO Aizuddin Saad
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak lagi mensia-siakan peluang menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada perlawanan wajib menang ke atas Australia, esok.

Tegas Amin, anak buahnya juga perlu memberikan segala-galanya perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A Piala Dunia Remaja itu termasuk berfikir sepantas pemain Australia terutamanya ketika situasi genting.

"Tak ada sebarang alasan dan 'short cut'. Hujan ke, salji ke kita kena turun pamer persembahan paling terbaik sebab itu saja cara untuk layak ke suku akhir.

"Daripada aspek fizikal, Australia memang mempunyai kelebihan selain corak permainan yang pantas. Pemain kita perlu bersedia daripada segi reaksi di atas padang, maknanya apa juga yang berlaku, barisan pemain negara perlu sepantas cara pemikiran pemain Australia.

"Kita juga tahu Australia bagus daripada aspek jaringan padang, jadi barisan pertahanan negara kena lebih berdisiplin serta lebih fokus sepanjang 60 minit permainan supaya kita tak buat kesilapan mudah dan benarkan Australia menjaringkan gol.

"Kita mesti jaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti kerana itu adalah kelebihan skuad negara. Bermakna mereka yang terbabit dalam rutin itu perlu laksanakan tugas masing-masing dengan baik.

"Jika ada yang kata kita tak boleh jaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti, kita pastinya tak mampu jaringkan lima gol ketika bertemu Chile. Ia bukan soal bagaimana persediaan kita, tetapi pemain perlu konsisten ketika melakukan pukulan sudut penalti," katanya.

Kelemahan skuad negara menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti cukup ketara ketika tumbang 0-4 di tangan Argentina semalam apabila kesemua empat peluang yang diperolehi disia-siakan begitu sahaja.

Jelas Amin, barisan kejurulatihan serta pemain negara perlu melakukan persediaan yang paling tepat untuk pertemuan dengan Australia serta pantas melupakan kekalahan kepada Argentina yang menyukarkan kemaraan skuad negara ke suku akhir.

"Jadikan kekalahan kepada Argentina sebagai pengajaran. Jika setiap pemain memberikan komitmen 100 peratus sepanjang 60 minit permainan dan menang, kita pasti akan ke suku akhir," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Australia, Jay Stacy percaya barisan pemainnya mampu untuk mengatasi pasukan tuan rumah sekali gus mara ke suku akhir selepas membelasah Chile 7-1 pada perlawanan semalam.

"Kami menghala fokus kepada perlawanan penting menentang Malaysia selepas ini. Pemain tuan rumah sudah menampakkan kemajuan dan memiliki kemahiran baik. Kami akan hadir dengan satu rancangan tersendiri dan meningkatkan kemajuan untuk memenangi perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 2:56 PM