PENJAGA gol negara, Rafaizul akui kurang fokus menyebabkan dia melepaskan gol pertama ketika berdepan Argentina. -FOTO MHC
PENJAGA gol negara, Rafaizul akui kurang fokus menyebabkan dia melepaskan gol pertama ketika berdepan Argentina. -FOTO MHC
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penjaga gol skuad hoki remaja negara, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani berjanji untuk menebus kesilapan yang dilakukannya ketika bertemu juara bertahan, Argentina apabila turun pada perlawanan wajib menang ke atas Australia, esok.

Dua kesilapan dilakukan penjaga gol muda negara itu menyebabkan Argentina mendahului dua gol selepas berakhir separuh masa pertama sekali gus menyaksikan skuad Young Tigers tumbang 0-4 di tangan Argentina.

Mengakui kesilapannya, Rafaizul berkata, dia tidak mahu perkara sama berulang apabila bertemu Australia esok kerana perlawanan itu adalah umpama hidup mati skuad negara sekiranya mahu menyimpan impian untuk ke suku akhir.

"Saya sedia ambil tanggungjawab apabila bertemu Australia dan pastikan saya dapat beraksi lebih baik daripada perlawanan hari ini (semalam).

"Saya mahu mencabar diri saya sendiri bahawa kita mampu bersaing dengan Australia," katanya yang hanya dibolosi satu gol ketika skuad negara mencatatkan kemenangan 7-1 ke atas Chile pada perlawanan pertama.

Mengulas kesilapan dilakukannya itu, Rafaizul mengakui hilang fokus menyebabkan Argentina memperoleh gol pertama menerusi jaringan padang Bautista Capurro minit ke-20 sebelum dibolosi lagi minit ke-28 hasil gol padang Marco Aguirregomezcorta.

"Untuk gol pertama ia memang salah saya yang kurang fokus. Saya sepatutnya lebih fokus tengok bola. Gol kedua Argentina pula saya sepatutnya lebih tenang dan pantas bertindak," katanya.

Rafaizul tewas lagi pada separuh kedua selepas Argentina memperoleh pukulan sudut penalti pertama mereka minit ke-44 dan ia disempurnakan oleh Inaki Minadeo sebelum Juan Fernandez menambah gol keempat menerusi jaringan padang minit ke-48.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:13 PM