PEMAIN skuad hoki remaja negara kecewa selepas tewas 2-5 di tangan Australia, sekali gus gagal mara ke suku akhir, hari ini. FOTO GENES GULITAH
PEMAIN skuad hoki remaja negara kecewa selepas tewas 2-5 di tangan Australia, sekali gus gagal mara ke suku akhir, hari ini. FOTO GENES GULITAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Impian skuad hoki remaja negara untuk sekurang-kurangnya memburu tiket ke suku akhir Piala Dunia Remaja berkecai selepas tewas 2-5 di tangan Australia pada aksi terakhir Kumpulan A, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara hanya menduduki tangga ketiga dengan mengumpul tiga mata selepas mengalami dua kekalahan daripada tiga perlawanan dan bakal beraksi pada perlawanan klasifikasi sembilan hingga 16 menentang pasukan tercorot Kumpulan B, Mesir, Isnin ini.

Australia pula mengikuti jejak langkah pendahulu kumpulan, Argentina yang meraih maksimum sembilan mata daripada tiga perlawanan, untuk mara ke suku akhir.

Pengendali skuad negara, Muhamad Amin Rahim mengakui kekalahan itu berpunca daripada kesilapan barisan pemainnya yang membenarkan Australia menjaringkan tiga gol pada suku pertama.

"Kami tidak salahkan sesiapa kerana itu adalah kesilapan sendiri. Soal konsistensi ketika beraksi memang perkara itu kerap berlaku dalam skuad kebangsaan.

"Kami semua perlu ambil tanggungjawab sebagai satu pasukan untuk pastikan setiap minit di atas padang perlu dilakukan dengan betul. Ini adalah Piala Dunia, jadi pemain kena sedar cabarannya sangat sukar.

"Sejujurnya kami bukanlah pasukan pilihan dalam Kumpulan A berbanding Argentina dan Australia. Kami pasukan bukan pilihan dan sebagai tuan rumah cuba beri cabaran kepada kedua-dua gergasi hoki itu. Sasaran selepas ini adalah menamatkan cabaran di tempat kesembilan," katanya pada sidang media.

Malapetaka skuad negara bermula sejak suku pertama apabila Australia memperoleh gol seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti Cooper Burns sebelum Jake Lambeth menambah gol kedua, empat minit kemudian.

Cambell Geddes memastikan Australia selesa mendahului 3-0 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-15.

Penyerang negara, Mohammad Harris Iskandar Osman menghidupkan kembali peluang Young Tigers apabila menampan kemas hantaran jauh rakan senegara, Azmilmuizzuddin Misron masuk ke gawang lawan, sekali gus menewaskan penjaga gol Australia, Oliver Higgins minit ke-21.

Bagaimanapun kebangkitan yang diharapkan menerusi gol itu berkecai selepas Australia menambah satu lagi gol menerusi jaringan padang Lambeth minit ke-27.

Bersambung separuh masa kedua, penyerang negara, Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini menghadiahkan gol kedua minit ke-44 apabila menampan masuk hantaran jauh Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib.

Namun sekali lagi kebangkitan yang diharapkan tidak berlaku, sebaliknya Australia menambah gol kelima menerusi pukulan sudut penalti Geddes, seminit kemudian.

Skuad negara menggandakan asakan pada suku terakhir apabila beberapa kali cuba untuk memasuki kawasan D lawan, namun Australia dapat bertahan dengan baik dan kedudukan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 4:35 PM