PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menentang Chile. FOTO FIH
PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menentang Chile. FOTO FIH
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara sudah melupakan kemenangan 2-1 ke atas Chile pada perlawanan pertama Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India, malam semalam.

Sebaliknya, skuad bimbingan Wallace Tan pantas mengalihkan fokus kepada perlawanan yang cukup getir bertemu naib juara edisi 2016, Belgium pada perlawanan kedua, esok.

Pengurus pasukan, I Vikneswaran berkata, kemenangan ke atas Chile sememangnya amat penting untuk memberikan suntikan semangat serta keyakinan kepada barisan pemain negara menjelang pertemuan dengan Belgium.

"Dalam mana-mana kejohanan, perlawanan pertama sangat penting untuk pasukan mendapatkan kestabilan dan keyakinan. Saya percaya selepas ini Wallace ada strategi bagaimana untuk bertemu Belgium.

"Barisan pemain akan memanfaatkan tempoh rehat dan melihat semula apa yang berlaku sepanjang perlawanan pertama. Sudah pasti mereka akan lebih bersedia apabila bertemu Belgium," katanya.

Vikneswaran tidak menafikan terdapat beberapa kelemahan perlu diatasi skuad negara jika tidak mahu dikecewakan Belgium yang mempamerkan aksi garang apabila menewaskan Afrika Selatan 5-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, kelmarin.

"Banyak dipelajari pemain terutama selepas mendahului 2-0, bagaimana untuk mengawal permainan sehingga tamat perlawanan. Saya lihat skuad negara berpeluang untuk menambah gol selepas itu. Perkara seperti itu perlu dilihat dan diperbaiki apabila bertemu Belgium," katanya.

Pada perlawanan di Stadium Kalinga, skuad negara didepan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-34.

Skuad negara mengukuhkan kedudukan apabila menambah gol kedua selepas Syarman Mat Tee menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-43 dan Chile meraih satu gol minit ke-59 menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Sebastian Wolansky.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 10:47 PM