SKUAD remaja negara akan menentang Belanda pada perlawanan pertama Piala Dunia Remaja esok.
SKUAD remaja negara akan menentang Belanda pada perlawanan pertama Piala Dunia Remaja esok.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Saya akan cuba sempurnakan 100 peratus untuk mendapatkan gol.”

Itu tekad pakar pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang tidak mahu mensia-siakan peluang menyumbang gol buat skuad remaja negara menerusi gerakan itu pada Piala Dunia Remaja di Lucknow, India.

Jelas Najmi, sebagai pemain senior yang diberi tanggungjawab berat itu, dia amat berharap setiap pukulan sudut penalti diperoleh skuad negara disempurnakan dengan baik sekali gus menggantikan Shahril Saabah, pemain yang sudah bersama pasukan senior.

“Saya sedar sebagai pemain senior tanggungjawab itu lebih besar terutama untuk membimbing rakan sepasukan lain.

“Sudah tentu saya akan berikan yang terbaik jika diberi tanggungjawab menyempurnakan pukulan sudut penalti.

“Saya harap pengalaman beraksi bersama pasukan senior sebelum ini dapat membantu di kejohanan ini,” katanya yang pernah bersama skuad senior beraksi di pertandingan besar, antaranya Trofi Juara-Juara Asia, Liga Hoki Australia (AHL) serta Festival Hoki Antarabangsa di Melbourne.

Jelas Najmi, untuk peringkat awal, dia hanya mahu memastikan skuad negara dapat mengharungi aksi peringkat kumpulan dengan mencapai keputusan positif.

“Kami akan fokus pada setiap perlawanan terlebih dulu kerana semua lawan mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama dua gergasi dunia Belanda dan Belgium serta Mesir.

Barisan pemain bimbingan Wallace Tan itu akan turun pada perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu Belanda esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 8:55 AM