ISTANA Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan. FOTO Arkib NSTP
ISTANA Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan tiga yang lain gagal mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan penukaran agama tiga anak ibu tunggal Loh Siew Hong kepada Islam oleh bapa mereka tanpa persetujuan wanita itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan kebenaran rayuan oleh MAIPs, Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis.

Susulan penolakan permohonan kebenaran itu, tiga anak Loh iaitu pasangan kembar berusia 16 tahun dan anak lelaki berusia 13 tahun kekal beragama Hindu.

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais berpendapat bahawa tiada sebab untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Gandhi.

Bagi kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa perlu diperoleh sebelum anak di bawah umur ditukar agama.

Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah tidak dapat menerima bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Indira Gandhi hanya terhad kepada Wilayah Persekutuan.

"Penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi terpakai bagi seluruh negara," katanya.

Mengenai perkataan parents dan parent yang digunakan secara bergantian dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak dibangkitkan dalam kes Indira Gandhi, beliau berkata isu itu sudah ditangani dalam kes Indira Gandhi.

Hakim Tengku Maimun berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan serentak mengenai isu sama ada terdapat preskripsi Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu sebagai teks sahih.

Justeru katanya, mahkamah tidak nampak mengapa isu berkenaan perlu dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Loh untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bagi membatalkan penukaran agama secara unilateral atau sebelah pihak tiga anaknya di Perlis pada 2020 oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa tiga anak Loh beragama Hindu.

Mahkamah Tinggi pada 2023 menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.

Loh, 37, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mohd Asri dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya M. Nagahswara, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Wanita itu juga memohon pengisytiharan bahawa anak-anaknya, sebagai kanak-kanak, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk Islam tanpa persetujuan beliau.

Loh turut memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan pemelukan agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama tiga anaknya, dan kad berhubung pemelukan Islam yang dikeluarkan pihak lain, dan menghalang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kad sedemikian.

Tiga kanak-kanak itu yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepada Loh pada 21 Februari 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Loh diwakili sepasukan peguam diketuai oleh A. Srimurugan, manakala peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagi pihak MAIPs serta penasihat undang-undang negeri Perlis Mohd Radhi Abas selaku peguam kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mohd Asri dan Kerajaan Negeri Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 4:46 PM