ANTARA lelaki lain yang pernah digunakan wanita tersebut.
ANTARA lelaki lain yang pernah digunakan wanita tersebut.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Pada mulanya saya fikir ia akaun palsu, ternyata tidak."

Demikian kata Nazrul Hisyam, 30, apabila menjadi mangsa seorang wanita Delusional yang mempergunakan gambarnya untuk dijadikan sebagai kekasih khalayan sejak beberapa minggu lalu di media sosial.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila wanita itu turut mewar-warkan mereka bakal berkahwin.

"Pada mulanya tidak tahu gambar saya digunakan wanita itu, hinggalah ada rakan yang beritahu. Saya pun tidak pasti sudah berapa lama dia gunakan, cuma baru dapat tahu dua minggu lalu.

"Ada kawan bertanya betulkah saya sedang bercinta dengan wanita itu dan akan berkahwin. Sebab, cara dia buat hantaran seolah-olah kami ini pasangan kekasih dan selalu keluar bersama. Dari situ saya terus mesej dia di TikTok. Saya cakap, ini 'scam', tapi saya terus disekat.

"Saya pun ambil keputusan untuk buat ciapan di aplikasi X dan berkongsi mengenai perbuatan wanita itu. Bukan apa, saya takut dia gunakan gambar saya untuk perkara lain pula," katanya kepada Harian Metro.

"Apa yang lebih teruk adalah wanita itu menuduh saya pula yang memburukkan dia. Dapat tahu saja perkara itu, saya buat carian mengenai dirinya. Ternyata, dia memang suka menggunakan gambar lelaki lain juga sejak 2016 lagi. Kiranya, saya bukan orang pertama yang terkena.

"Malah, ada juga maklumkan wanita ini 'kurang sihat' dari segi mental. Sebab itu, dia boleh 'pusing' semua perkara dan menyalahkan saya. Kononnya saya yang mahukan dia dan sengaja dedahkan dirinya di X.

"Saya perlu buat pendedahan ini supaya tidak ramai lagi yang tertipu dan menjadi mangsa. Dia perlu diberi pengajaran," katanya.

Menurutnya, dia tidak membuat laporan polis selagi perkara itu tidak membahayakan keselamatan dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 4:35 PM