FAISAL bukan sekadar aset skuad bola sepak kebangsaan, bahkan pemain sayap Selangor FC itu adalah hero negara. FOTO Ihsan Selangor FC
FAISAL bukan sekadar aset skuad bola sepak kebangsaan, bahkan pemain sayap Selangor FC itu adalah hero negara. FOTO Ihsan Selangor FC
Firdaus Hashim


Shah Alam: Selangor FC meletakkan harapan cukup tinggi di bahu Polis Diraja Malaysia dalam merungkai insiden hitam yang berlaku ke atas bintang bola sepak Harimau Malaya, Faisal Halim.

Harapan itu diluahkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mengakui pihaknya tidak mengetahui perkembangan terkini siasatan berhubung isu Faisal itu.

Katanya, Faisal bukan sekadar aset skuad bola sepak kebangsaan, bahkan pemain sayap Selangor FC itu adalah hero negara di mana semua rakyat Malaysia sentiasa mengikuti rapat perkembangannya.

"Saya difahamkan siasatan masih lagi jalan, cuma harapan saya itu buatlah betul-betul siasatan. Cuma kita nak tahu, kita minta yang baik-baiklah itu sahaja.

"Saya tak boleh nak komen (ditanya oleh media mengapa pihak polis terlalu lama menyiasat kes itu).

"Itu kena tanya IGP (Ketua Polis Negara) sendirilah, saya cuma harap IGP pun kalau boleh dari semasa ke semasa update sebab Faisal ini bukan hanya aset negara, tapi dia 'hero' negara.

"Dia pemain kebangsaan dan ramai pengikut dan sebagainya. Harapan saya supaya kalau ada apa-apa perkembangan yang tidak begitu sensitif, saya harap yang berwajib (pihak polis) ini dapatlah maklumkan kepada kami di luar sini," katanya ketika ditemui di lobi sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Sebelum ini, Faisal diserang oleh dua individu tidak dikenali yang menyimbah asid di badannya hingga mengakibatkan lecuran kulit teruk tahap empat.

Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey terpaksa menjalani empat pembedahan termasuk terpaksa menempah skin allograft atau tampalan kulit yang diimport dari Belgium dengan nilai lebih RM30,000.

Ditanya adakah Faisal akan dirakam percakapan lagi oleh pihak polis selepas ini, Shahril tegaskan tidak.

"Percakapan Faisal dah diambil oleh pihak polis, yang pasti kali terakhir minggu lepas dah dua kali diambil.

"Sepanjang pengetahuan saya pemain-pemain tidak ada, melainkan dua pegawai pasukan yang dirakam percakapan di mana laporan polis dibuat. Tak salah saya sekali sahaja dipanggil untuk bagi keterangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 4:21 PM