WALLACE memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang England. FOTO MHC
WALLACE memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang England. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat skuad projek khas lelaki kebangsaan untuk melakar kemenangan pertama pada siri Jelajah United Kingdom belum kesampaian apabila tewas 2-3 kepada skuad bawah 21 (B-21) England, hari ini.

Turun pada perlawanan kedua selepas tewas 0-2 kepada pasukan kelab Repton HC sebelum ini, skuad negara bimbingan Wallace Tan mempamerkan aksi lebih meyakinkan pada perlawanan yang berlangsung di Bisham Abbey.

Semangat tidak putus asa skuad remaja negara wajar diberikan pujian apabila bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-40 selepas pasukan lawan terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-3 menerusi gol pukulan sudut penalti.

Kedudukan 1-1 itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila England menambah dua gol minit ke-45 menerusi gol padang dan berselang lima minit kemudian gol ketiga daripada pukulan sudut penalti.

Skuad negara bangkit merapatkan kedudukan minit ke-55 selepas Muhammad Arif Shafie Ishak menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk kedudukan semasa 2-3 namun percubaan untuk mencari gol penyamaan tidak berhasil.

Wallace melihat barisan pemainnya berjaya menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua terutamanya semangat untuk mencari gol penyamaan selepas ketinggalan.

"Pemain menunjukkan peningkatan dalam perlawanan ini walaupun pada awalnya kami ketinggalan 0-1 tetapi pemain bangkit menyamakan kedudukan 1-1. Kami ketinggalan semula 1-3 dan kemudian pemain bangkit sekali lagi mengubah kedudukan 2-3 dan kami hampir untuk mencatat keputusan seri.

"Selain daripada keputusan, yang penting adalah cara pemain beraksi dan terdapat peningkatan dalam permainan. Saya melihat kami masih lagi perlu terus belajar untuk memperbaiki lagi kekurangan yang ada," katanya.

Skuad negara akan turun pada perlawanan ketiga menentang lawan sama yang berlangsung jam 10.30 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 10:12 AM