ARIF (kanan) berjaya mengekang asakan Belgium untuk mencari lebih banyak jaringan ketika aksi peringkat kumpulan semalam. -FOTO Ihsan FIH.
ARIF (kanan) berjaya mengekang asakan Belgium untuk mencari lebih banyak jaringan ketika aksi peringkat kumpulan semalam. -FOTO Ihsan FIH.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Keputusan seri 1-1 ketika menentang Belgium tengah malam semalam dianggap sangat penting bagi pengendali skuad hoki remaja negara, Wallace Tan dalam usaha untuk memburu tempat ke suku akhir Piala Dunia Remaja yang berlangsung di Bhubaneswar, India.

Menurutnya, anak buahnya sudah bermain bersungguh-sungguh bagi mengelak daripada mencatat kekalahan ketika berdepan naib juara Piala Dunia Remaja itu.

"Mereka memang bekerja keras untuk mendapatkan keputusan seri dalam perlawanan hari ini (semalam).

"Keputusan seri ini sangat penting dan esok (petang ini) kami akan bertemu Afrika Selatan (perlawanan terakhir peringkat kumpulan). Perlawanan esok sangat penting untuk kami mendapatkan keputusan seri seterusnya layak ke suku akhir," katanya selepas perlawanan semalam.

Berdasarkan kedudukan Kumpulan A selepas aksi semalam, Malaysia menduduki tangga kedua dengan berkongsi empat mata bersama Belgium manakala, Afrika Selatan di tangga ketiga mengutip tiga mata.

Jika sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri petang ini anak buah Wallace akan mara ke suku akhir, mengiringi Belgium yang dijangka tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Chile.

Aksi antara Malaysia dan Afrika Selatan yang berlangsung di Stadium Kalinga akan bermula pada jam 5 petang ini waktu Malaysia.

Semalam Malaysia memperoleh jaringan pada minit ke-29 apabila pukulan sudut penalti, Arif Ishak yang diselamatkan penjaga gol, Pierre De Gratie sempat disambut Amirul Hamizan Azhar.

Gol penyamaan Belgium pula berjaya dijaringkan Thibeau Stockbroekx pada minit ke-49 juga berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Keputusan seri itu setidak-tidaknya menebus kekalahan Malaysia ketika menentang Belgium pada kejohanan yang sama di edisi 2016, apabila skuad remaja negara tumpas 0-3 juga dalam aksi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 1:40 PM