Nuraini (empat kanan) dan Fatin (tiga kiri) menerima sijil daripada Presiden KHM, Datuk Sri Subahan Kamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak. FOTO KHM
Nuraini (empat kanan) dan Fatin (tiga kiri) menerima sijil daripada Presiden KHM, Datuk Sri Subahan Kamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak. FOTO KHM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dua pemain senior Skuad Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan iaitu Nuraini Abdul Rashid dan Fatin Shafika Mohd Sukri akan beraksi bersama kelab yang berpangkalan di England, East Grinstead H.C selama sebulan.

Nuraini dan Fatin Shafika akan bertolak minggu ini untuk bersama pasukan berkenaan sehingga 18 Oktober 2021 bagi membantu pasukan yang muncul selaku naib juara Liga Hoki England (Premier) musim lalu itu beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL) dan juga mencabar saingan musim baru Liga Hoki England (Premier) 2021.

Nama Nuraini Rashid tidak asing bagi Kelab Hoki East Grinstead kerana ia adalah penampilan kali ketiganya bersama pasukan itu di mana Nuraini pernah bersama pasukan itu pada September hingga Disember 2019 dan Februari hingga April 2020.

"Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk membuat penampilan kali ketiga bersama Kelab Hoki East Grinstead dan pastinya saya mahu mengekalkan prestasi yang saya berikan pada dua musim lalu dan berazam untuk mengekalkan pencapaian bersama pasukan iaitu mengakhiri saingan liga di kedudukan dua pasukan terbaik.

"Liga di sana dan Liga di negara kita pastinya berbeza kerana England adalah tiga pasukan terbaik di Sukan Olimpik Tokyo dan dalam pasukan East Grinstead sendiri, terdapat tiga pemain beraksi di Sukan Olimpik baru-baru ini jadi banyak ilmu yang pastinya boleh saya pelajari daripada mereka.

"Sudah semestinya saya teruja untuk kembali beraksi bersama mereka dan dalam masa yang sama saya mahu terus mengumpul pengalaman sebanyak yang boleh serta terus belajar perkara yang baru dengan mereka," jelas Nuraini.

Sementara itu, Fatin Shafika yang sebelum ini pernah menyertai Kelab Hoki Butterfly Roma di Rome, Itali, pada September hingga November 2018 akan bersama-sama Nuraini beraksi bersama Kelab Hoki East Grinstead kali ini.

"Sudah tentu saya gembira dan sangat teruja untuk beraksi di saingan Liga Hoki England. Dengan peluang yang diberikan ini saya mahu menggunakannya dengan sebaik mungkin. Saya juga mahu tunjukkan kepada mereka bahawa pemain Malaysia juga mempunyai kualiti untuk beraksi bersama mereka," ujar Fatin Shafika.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:41 PM