Farah (kanan) dan Nuraini ketika beraksi bersama East Grinstead HC.
Farah (kanan) dan Nuraini ketika beraksi bersama East Grinstead HC.
Saiful Affendy Sapran


MUHAMMAD Dhaarma Raj Abdullah berkata kejayaan Farah Ayuni Yahya dan Nuraini Abdul Rashid membantu East Grinstead HC layak beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL), adalah hasil dorongannya ke atas kedua-dua pemain itu.

Bekas ketua jurulatih skuad hoki wanita negara itu berkata, baik Farah atau Nuraini, kedua-dua pemain itu mempunyai bakat yang luar biasa dan atas faktor itu, beliau sering kali mengingatkan mereka serta barisan pemain lain supaya beraksi di luar negara sekiranya memperoleh peluang.

Katanya, sekarang mereka berpeluang beraksi di pentas tertinggi bersama pemain ternama dunia sekali gus dapat memenuhi impian mereka bersama kelab terbabit.

Dhaarma yang ditamatkan kontraknya hujung tahun lalu menegaskan, tiada perkara yang lebih baik untuk seseorang pemain selain beraksi di luar negara.

Farah Ayuni yang juga penjaga gol negara menerusi laporan Arena Metro berharap dapat beraksi bersama kelabnya itu di EHL sekali gus muncul pemain pertama negara beraksi di pentas berprestij itu.

East Grinstead muncul naib juara pada saingan Liga Hoki England yang berakhir Mac lalu sekali gus layak beraksi di EHL.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 6:08 PM