NURAINI Abdul Rashid.
NURAINI Abdul Rashid.

Kuala Lumpur: Pakar pukulan sudut penalti skuad hoki wanita negara, Nuraini Abdul Rashid berharap dapat beraksi bersama East Grinstead buat kali pertama pada musim ini apabila naib juara Liga Hoki Premier England itu bakal bertemu Hampstead & Westminster, hari ini.

Nuraini yang dipilih untuk beraksi bersama kelab terkemuka itu bersama-sama seorang lagi pemain kebangsaan, Fatin Shafika Mohd Sukri, tidak dapat beraksi pada perlawanan pembukaan bertemu Loughborough Students minggu lalu kerana perlu memenuhi prosedur kuarantin selama lima hari.

Bagi Nuraini, ia adalah penampilan kali ketiganya bersama East Grinstead manakala untuk Fatin pula baru kali pertama selepas sebelum ini menimba pengalaman di kelab hoki Butterfly Roma di Rom, Itali.

"Kami baru dapat sertai sesi latihan Rabu lalu selepas habis proses kuarantin. Walaupun hanya sempat sertai satu sesi latihan, saya rasa tak ada masalah persefahaman dengan rakan sepasukan lain.

"Kami juga sudah dapat membiasakan dengan segala perubahan suasana di sini termasuklah perbezaan masa. Untuk perlawanan bertemu Hampstead & Westminster, sudah pasti saya dengan Fatin berharap dapat terpilih dalam kesebelasan utama.

"Sebab itu pada sesi latihan pertama kami cuba berikan yang terbaik untuk jurulatih menilai kemampuan kami," katanya ketika dihubungi.

Jelas Nuraini, dia sememangnya teruja untuk beraksi bersama East Grinstead selepas tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif dalam tempoh yang agak lama berikutan pandemik Covid-19.

"Sebab itu saya mahu memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya sebab sebelum ini skuad kebangsaan juga tak ada sebarang kejohanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 7:00 AM