KAPTEN UniKL, Marhan Jalil (kanan)  mengawal bola  pada aksi  separuh akhir  semalam.  FOTO Bernama
KAPTEN UniKL, Marhan Jalil (kanan) mengawal bola pada aksi separuh akhir semalam. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kemenangan 4-2 dalam saingan liga bukan ukuran buat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjelang aksi final menentang Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan Piala TNB, Sabtu ini.

Bagi pengendali UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi, perlawanan dan kemenangan dicatatkan ketika saingan liga sudah menjadi sejarah.

"Perlawanan akhir adalah aksi baharu, kita pun sedar bahawa prestasi THT dalam dua atau tiga permainan sebelum ini menunjukkan peningkatan. Jadi perlawanan akhir nanti adalah satu final yang sangat menarik untuk ditonton," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, hanya pasukan terbaik bakal memenangi perlawanan akhir itu sekali gus dapat menjulang trofi Piala TNB.

UniKL berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menumpaskan TNB di aksi separuh akhir dengan agregat 4-1 dan berada di landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan 'treble' yang diraih tahun lalu.

"Kejayaan ini bukan datang disebabkan hanya saya seorang. Pada akhirnya saya tetap mengharapkan pemain dan pasangan saya, Saiful Azhar Mohd Afendi.

"Ini akan membuatkan kerja menjadi sempurna. Kita memperoleh mata selepas perbincangan bersama sebagai satu pasukan kalau tidak ia takkan berhasil. Ini akan dibuktikan apabila UniKL berjaya meraih kejayaan," katanya.

Aksi akhir antara THT dan UniKL mengulangi perlawanan akhir Piala TNB musim lalu yang menyaksikan skuad bimbingan Arul Selvaraj itu berjaya muncul juara selepas mencatat kemenangan 2-1.

Musim ini THT berjaya mara ke final selepas mengetepikan Maybank dengan agregat 4-1. Sementara itu, bagi saingan Piala Vivian May Soars akan menyaksikan UniKL Ladies menentang PKS Uniten-KPT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 11:35 PM