Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) jelas mempunyai cita-cita besar pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini apabila meletakkan sasaran mahu memenangi tiga piala yang dipertandingan.

Walaupun turun tanpa kelibat pemain import, naib juara MHL itu tetap optimis mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan lain dalam usaha meraih kejayaan lebih besar.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, kemampuan yang dimiliki pemain tempatan cukup baik apabila masing-masing mempunyai disiplin tinggi dan tidak mudah mengalah ketika berhadapan dengan pasukan lawan.

"Tanpa penyertaan pemain import untuk liga kali ini, tiada kurangnya pasukan TNB berbanding pasukan pilihan yang bertanding musim ini.

"TNB meletakkan sasaran yang tinggi kerana kombinasi disiplin, semangat, jati diri dan kekentalan jiwa pemain memberikan kita kelebihan berbanding pasukan lawan.

"Seperti nama TNB yang semakin gah di peringkat antarabangsa, kita bukan jaguh kampung. Pasukan hoki kita pun perlu berdiri pada tahap yang sama," katanya, pada majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts di ibu pejabat TNB.

MOHAMAD Ariff (empat kiri) bersama Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek (tiga kanan) memegang jersi baharu pasukan hoki TNB ketika majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts sempena MHL 2021. FOTO TNB
MOHAMAD Ariff (empat kiri) bersama Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek (tiga kanan) memegang jersi baharu pasukan hoki TNB ketika majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts sempena MHL 2021. FOTO TNB

Sementara itu, ketua jurulatih TNB, Nor Azlan Bakar berkata, ketiadaan pemain import untuk kejohanan tahun ini bakal menjadikan persaingan merebut kejuaraan liga, Piala Sumbangsih dan Piala TNB lebih terbuka.

"Bagi TNB, kami sememangnya menggunakan bakat tempatan untuk penyertaan selama ini namun ketiadaan pemain import memberi dimensi yang berbeza untuk pasukan yang bersaing dalam liga musim ini.

"Tahun ini adalah peluang terbaik bagi TNB untuk merangkul kejuaraan liga selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 2010," kata bekas pemain pertahanan negara itu.

TNB akan membuka tirai kejohanan bertemu juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam pertemuan Piala Sumbangsih pada 12 Mac di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Pasukan TNB Thunderbolts pula akan bertemu Maybank pada perlawanan pembukaan mereka Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 2:41 PM