PEMILIK Hockademy, Megat D Shahriman (tengah) bersama peguam yang mewakilinya, Mohd Zhafri (kiri) dalam Sidang Media Khas Hockademy, di sini, petang ini. FOTO Ihsan Hokcademy
PEMILIK Hockademy, Megat D Shahriman (tengah) bersama peguam yang mewakilinya, Mohd Zhafri (kiri) dalam Sidang Media Khas Hockademy, di sini, petang ini. FOTO Ihsan Hokcademy
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hukuman penggantungan 18 bulan yang dikenakan ke atas pemilik Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dilihat sebagai pertuduhan yang 'cacat'.

Demikian tegas peguam yang mewakilinya, Mohd Zhafri Aminurashid mengulas hukuman ke atas Megat yang dianggap tidak mengikut prosedur biasa.

"Sehingga proses rayuan dan sehingga peringkat terakhir di CAS (Mahkamah Timbangtara Sukan), Datuk Seri akan terima hukuman itu.

"Tapi selepas ini kita akan ambil tindakan selanjutnya untuk menegakkan hak Datuk Seri dan kita akan membuktikan bahawa pertuduhan ini adalah pertuduhan yang cacat dari segi undang-undang dan tak mengikut prosedur yang biasa undang-undang sukan baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Mohd Zhafri, pertuduhan yang dikenakan ke atas Megat adalah berkaitan tuntutan pembayaran hadiah kemenangan Liga Hoki Malaysia (LHM) tanpa membabitkan apa-apa serangan peribadi terhadap mana-mana individu mahupun pentadbiran MHC.

"Datuk Seri bertindak untuk membuat kenyataan media selepas MHC gagal untuk menjawab surat rasmi kami pada tarikh 15 April 2020 dan 27 Mei 2020 berkaitan pembayaran duit kemenangan Liga Hoki Malaysia.

"MHC sebaliknya hanya menjawab menerusi surat pekeliling kepada semua pasukan dan tidak spesifik kepada surat yang dihantar oleh pihak Datuk Seri," katanya.

Arena Metro semalam melaporkan MHC mengenakan penggantungan selama 18 bulan ke atas Megat daripada sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa serta-merta.

Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, Lembaga Eksekutif MHC yang bermesyuarat bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Disiplin MHC yang mendapati pemilik kelab Hockademy itu melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (MHL).

Sementara itu Megat berkata beliau akan menerima hukuman itu dan mengikut segala proses yang ditetapkan.

"Saya buat semua ini demi hoki dan tiada kepentingan peribadi. Saya tak mahu komen lebih lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 5:07 PM