Pasukan Hockademy muncul juara Liga Hoki Wanita.
Pasukan Hockademy muncul juara Liga Hoki Wanita.
Aida Adilah Mat


PENANTIAN selama lima bulan membabitkan isu pembayaran hadiah wang kemenangan Liga Hoki Malaysia 2020 akhirnya selesai.

Pasukan Hockademy kini boleh meraikan kejayaan mereka muncul sebagai juara Liga Hoki Wanita apabila menerima hadiah kemenangan RM50,000 dan tambahan RM15,000 selepas muncul naib juara Piala Vivian May Soars.

Hockademy yang dimiliki ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan memaklumkan mereka sudah menerima hadiah wang kemenangan berkenaan hari ini.

"Kami barisan pengurusan Hockademy ingin mengucapkan terima kasih kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang memberi kerjasama sewajarnya dalam menyelesaikan pembayaran terbabit.

"Pihak Hockademy percaya melalui pembayaran wang hadiah kemenangan itu dapat membantu meringankan beban pemain yang rata-ratanya terjejas akibat Covid-19 selain membuktikan MHC sentiasa prihatin dengan nasib pemain.

"Walau bagaimanapun, dijangka akan berlaku kelewatan pembayaran wang hadiah kemenangan kepada pemain berikutan pihak MHC 'tersilap' menyalurkan wang itu ke dalam akaun Persatuan Hoki Kuala Lumpur.

"Namun pihak Hockademy bercadang untuk mengadakan satu majlis keraian penyerahan wang imbuhan selepas semuanya selesai," katanya.

Hockademy melakarkan sejarah baharu apabila menjuarai Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 dalam penyertaan sulung mereka.

Bagaimanapun, hasrat pasukan itu merangkul kejuaraan berganda tidak kesampaian apabila tumpas kepada PKS Uniten 1-2 pada aksi final Piala Vivian May Soars.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 6:21 PM