POLIS mengawal pintu masuk Stadium Hard Rock menjelang aksi final Copa America antara Argentina dan Colombia, Ahad lalu. FOTO REUTERS
POLIS mengawal pintu masuk Stadium Hard Rock menjelang aksi final Copa America antara Argentina dan Colombia, Ahad lalu. FOTO REUTERS
AFP

Miami: Pihak Stadium Hard Rock mempertahankan langkah keselamatan diambil bagi final Copa America, Ahad lalu, selepas CONMEBOL mendakwa penganjur mengabaikan nasihat untuk mengelak insiden tidak diingini ketika perlawanan.

Aksi final antara juara bertahan, Argentina dan Colombia di venue di Miami itu ditunda selama 82 minit apabila pihak keselamatan bergelut dengan insiden penyokong tanpa tiket menyerbu dan merempuh pintu masuk stadium.

Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mengatakan penganjur tempatan gagal mematuhi prosedur keselamatan dicadangkan seperti menyediakan penghadang awal untuk memeriksa penyokong tanpa tiket.

"Kami kesal kerana tindakan ganas dilakukan segelintir penyokong menjejaskan kemeriahan final yang sepatutnya diraikan dengan hebat bagi sukan itu," kata CONMEBOL dalam satu kenyataan.

CONMEBOL menambah: "Ia bergantung kepada keputusan dibuat pihak berkuasa Stadium Hard Rock yang bertanggungjawab menjalankan operasi keselamatan."

Bagaimanapun, pihak stadium berkata langkah keselamatan diputuskan secara bersama oleh tuan rumah, CONMEBOL dan pihak berkuasa tempatan.

"Stadium Hard Rock menganjurkan dengan selamat ratusan acara kelas dunia dalam sejarah 37 tahun kami termasuk Super Bowls, perlawanan bola sepak antarabangsa, Formula 1, NFL dan bola sepak kolej, konsert jelajah besar dan acara global lain," kata pengurusan stadium dalam kenyataan.

"Dalam semua acara itu, langkah keselamatan dipersetujui bersama antara penganjur, pihak berkuasa tempatan dan pemilik gelanggang."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:03 PM