AKSI antara JDT dan Kawasaki di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara JDT dan Kawasaki di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya tewas tipis 0-1 kepada kelab Liga 1 Jepun (Liga J1) Kawasaki Frontale dalam aksi pertama Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Apapun nasib tidak menyebelahi JDT yang mempamerkan aksi berintensiti tinggi sehingga memaksa skuad kendalian Toru Oniki terpaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan tipis pada perlawanan itu.

Sebaik babak pertama bermula, kedua-dua pasukan tampak bermain secara permainan terbuka dengan masing-masing menguasai posisi tengah dan cuba melakukan serangan berbahaya dalam usaha memburu gol.

Kawasaki Frontale mengundang cemas gawang JDT pada minit ke-13 namun bola sepakan percuma Yasuto Wakizaka sekadar terkena benteng tuan rumah sekali gus menyelamat gawang JDT daripada dibolosi.

Skuad bimbingan Esteban Solari turut mengambil peluang menggempur benteng anak didik Oniki pada minit ke-17 selepas bola sepakan percuma Juan Muniz berjaya ditanduk Bergson tapi tidak tepat ke gawang pasukan pelawat.

Ketika aksi memasuki minit ke-21, Arif Aiman Hanapi yang bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti berjaya dihalang penjaga gol, Jung Sung Ryong dan menyaksikan pemain JDT mendakwa dia dikasari oleh penjaga gol pelawat.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan Abdulrahman Al Jassim dari Qatar yang menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan tiada kekasaran terhadap Arif Aiman oleh Sung Ryong.

Tatkala aksi babak pertama berbaki seminit untuk ditamatkan Kawasaki mengambil kesempatan daripada kelekaan benteng tuan rumah selepas bola sepakan lambung Akihiro Ienaga berjaya ditanduk ke belakang Tatsuki Seko dan Marcinho yang tidak dikawal melakukan sepakan libas tepat menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, Arif Aiman hampir mencetus gol penyamaan pada minit ke-47 selepas memberanikan diri untuk menyusup masuk ke dalam kotak penalti namun bola rembatannya berjaya dihalang Sung-ryong bagi mengelak gawang dibolosi.

Kawasaki hampir menambah jaringan pada minit ke-60 selepas Seko sempat menendang bola walaupun diasak Ahmad Syihan Hazmi dan Matthew Davies namun Shane Lowry bertindak pantas mengeluarkan bola.

JDT yang sedar betapa kesuntukan masa mula menggandakan asakan bagi mengintai ruang untuk mencipta gol penyamaan namun tindakan pemain Kawasaki yang berkampung di kawasan sendiri pada lima minit terakhir menyukarkan anak didik Solari menghasilkan gol dan kedudukan 0-1 yang memihak kelab dari Jepun itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 10:22 PM