Habib (kiri) bersama arwah Man Kanan. Foto fail HM
Habib (kiri) bersama arwah Man Kanan. Foto fail HM
Ridzuan Abdul Rahman


KEMATIAN bekas pemain dram kumpulan Flop Poppy, Azman Ismail atau Man Kanan, 45, akibat serangan jantung, Sabtu lalu benar-benar meninggalkan kesan kepada isterinya, Habibunisah Mohd Azir, 41.

Habibunisah, lebih dikenali sebagai Habib berkata, apa yang berlaku amat mengejutkan kerana pendapatan mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada bidang nyanyian.

“Saya dan arwah bergabung tenaga sebagai busker dalam kumpulan D’ Phoenix. Selepas Kuala Lumpur, kami berhijrah ke Johor Bahru untuk mencari pengalaman baru.

“Kami positif untuk mencari rezeki di sini, namun tidak disangka kerana Abang (suami) ditakdirkan menemui ajal di sini.

“Biarpun sedih saya kena reda dengan pemergian Abang dan perlu meneruskan hidup bersama anak-anak selepas ini,” katanya.

Ketika kejadian, Man Kanan sedang tidur sebelum dikejutkan oleh isterinya untuk pergi ke bazar Ramadhan.

Bagaimanapun, sebaik bangun dari tidur, arwah tiba-tiba mengurut dada dan mengadu sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi Habib.

Habib kini bertanggungjawab menyara dan membesarkan lapan anak arwah yang sedang membesar.

“Seorang anak Abang sedang belajar di kolej manakala dua lagi masih bersekolah. Perkahwinan kami dikurniakan anak, Nur Muhammad Tuah, kini berusia setahun empat bulan dan saya sekarang sedang mengandung empat bulan anak kedua.

“Dalam pada itu, Abang turut meninggalkan seorang lagi isteri, Azi Fitrah, 46, dan seorang anak, Putra Azrullah yang kini berusia dua tahun lapan bulan.

“Sebelum ini Putra Azrullah mengalami masalah usus tidak bersambung. Bagaimanapun keadaannya kini sudah pulih. Azi tidak bekerja dan saya perlu membantunya kerana dia juga mempunyai anak dengan bekas suami terdahulu,” katanya.

Menurut Habib, jiwanya masih terkesan dengan apa berlaku dan perlu masa untuk pulih.

“Saya akui sangat lemah tetapi perlu kuatkan diri demi anak-anak. Lagipun saya juga perlu mencari wang untuk menyambut anak kedua kami. Saya akan kembali busking selepas keadaan okay.

“Saya amat berterima kasih sekiranya ada mana-mana pihak sudi memberikan bantuan bagi meringankan beban kami,” katanya.

Habib melahirkan perasaan sedih arwah suaminya merahsiakan penyakit yang dihidapinya kerana tidak mahu membuatkan mereka susah hati.

“Itulah yang sangat saya terkilan. Sebenarnya penyakit jantungnya baru dikesan dua minggu lalu. Belum sempat rawatan susulan dibuat, Abang sudah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Jenazah Man Kanan selamat dikebumikan di Kuantan, Pahang Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 5:49 PM