AAZZMI Ab Aziz direhatkan daripada mengendalikan pasukan PDRM bermula Isnin lalu. FOTO GHAZALI KORI
AAZZMI Ab Aziz direhatkan daripada mengendalikan pasukan PDRM bermula Isnin lalu. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Perjalanan ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Ab Aziz terhenti pada aksi ke-14 Liga Super selepas beliau direhatkan daripada mengendalikan skuad Sang Saka Biru itu bermula Isnin lalu.

Bagaimanapun punca sebenar jurulatih berusia 47 tahun itu direhatkan menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat setia skuad berkenaan kerana bekas 'arkitek' skuad PDRM itu berjaya melakar kemenangan dalam tiga aksi berturut-turut.

Lebih membanggakan skuad bimbingan Azzmi juga berjaya 'memalukan' dua pasukan berstatus elit iaitu Sabah FC dan Selangor FC dengan masing-masing berakhir dengan kemenangan 1-0 pada aksi liga ke-12 dan 13 sehingga digelar 'pembunuh gergasi' selain skuad itu adalah satu-satunya pasukan yang mampu menyekat pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) daripada berpesta gol selepas hanya berpuas hati dengan kemenangan 1-0.

Ketika persoalan itu diajukan kepada Azzmi, beliau turut menjelaskan tidak mengetahui punca sebenar beliau direhatkan selepas menerima surat itu daripada pihak pengurusan tiga hari lalu.

"Pada Isnin (18 Jun 2023), saya diminta datang ke pejabat, selepas itu saya dimaklumkan kena rehat daripada mengendalikan pasukan serta merta disusuli dengan pemberian surat berkenaan.

"Dalam surat itu, hanya dinyatakan khidmat saya direhatkan serta merta tanpa sebarang alasan sekali gus ia turut menimbulkan persoalan dalam diri saya, lebih parah tempoh rehat itu tidak dimaklumkan sehingga bila," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Azzmi berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberinya peluang untuk mengendalikan pasukan pada musim ini sehingga berjaya dilabel antara pasukan pencabar dalam Liga Malaysia (Liga M).

Ketika membimbing skuad itu, jurulatih kelahiran Selangor berusia 47 tahun itu berjaya membantu pasukan menduduki di tangga kelapan Liga Super dengan mengumpul 19 mata hasil enam kemenangan dan sekali seri daripada 14 perlawanan.

Dengan rehat itu, jurulatih yang baharu musim pertama mengendalikan pasukan dalam kancah Liga Super sebagai ketua jurulatih tidak akan bersama pasukan pada aksi ke-15 menentang Perak, Jumaat ini.

Azzmi adalah jurulatih kelima yang disisihkan musim ini selepas Tomas Trucha (Kelantan United), Chong Yee Fatt (Penang FC), Choi Moon-sik (Kelantan FC) dan Datuk Lim Teong Kim (Perak FC). Frank Bernhardt juga dilaporkan menanti masa dikenakan tindakan sama oleh pengurusan Kelantan FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 5:00 PM