GORETZKA (kiri) menjaringkan gol keempat Bayern. FOTO AFP
GORETZKA (kiri) menjaringkan gol keempat Bayern. FOTO AFP
AFP

Plzen: Dua jaringan Leon Goretzka memberi inspirasi kepada Bayern Munich untuk menang 4-2 ke atas Viktoria Plzen di saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi sekali gus menyaksikan gergasi Jerman itu mara ke pusingan 16 terakhir.

Bayern, yang menjuarai peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada empat musim terakhir, kini mendahului Kumpulan C dengan 12 mata daripada empat perlawanan.

Mereka mengesahkan kemaraan selepas Barcelona seri 3-3 dengan Inter Milan dalam satu lagi aksi.

"Beraksi pada perlawanan di mana anda adalah pasukan pilihan dan perlu menang adalah sukar.

"Kami mempunyai 12 mata dan sudah berada dalam kelompok 16 terakhir, jadi sudah tentu kami gembira," kata jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann.

Dibelasah 0-5 oleh Bayern seminggu lalu, Plzen menyaksikan mereka ketinggalan sekali lagi selepas hanya 10 minit di Republik Czech.

Sadio Mane meledak gol pertama untuk Bayern dengan menewaskan penjaga gol Plzen, Jindrich Stanek minit ke-10.

Nagelsmann membuat enam pertukaran daripada pertemuan pertama termasuk menggunakan khidmat Joshua Kimmich dan Thomas Mueller yang terlepas perlawanan di tempat sendiri kerana jangkitan Covid-19.

Mueller menjaringkan gol kedua Bayern pada minit ke-14 sebelum Goretzka menjaringkan dua gol lagi minit ke-25 dan 35 sekali gus memberikan mimpi ngeri untuk Plzen.

Tuan rumah cuba bangkit pada separuh masa kedua menerusi jaringan Adam Vlkanova dan Jan Kliment namun ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 7:28 AM