GUARDIOLA memburu gelaran treble perlu menewaskan United di final Piala FA esok. -FOTO AFP
GUARDIOLA memburu gelaran treble perlu menewaskan United di final Piala FA esok. -FOTO AFP
AFP

London: Pep Guardiola memberi amaran kepada bintang Manchester Citynya bahawa Manchester United mampu memusnahkan impian treble mereka pada perlawanan akhir Piala FA esok.

City akan tiba di Wembley dengan harapan untuk melengkapkan trofi kedua dalam usaha mereka memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA dalam satu musim.

Skuad Guardiola yang merangkul kejuaraan Liga Perdana kelima dalam enam musim ketika berbaki tiga perlawanan memberikan bos City itu peluang untuk merehatkan pemain utama dan memperkemaskan taktiknya menjelang dua perlawanan yang akan menentukan kejayaan musim mereka.

Selepas berdepan musuh ketat United dalam perlawanan akhir pertama Piala FA, City kemudiannya akan bertandang ke Istanbul untuk menentang Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 11 Jun.

Tumpuan utama Guardiola minggu ini ialah United, yang boleh menghalang percubaan kelab itu untuk mencontohi kejayaan treble bersejarah jiran mereka pada 1999.

United adalah satu-satunya kelab Inggeris lain yang memenangi ketiga-tiga trofi utama dalam satu kempen dan anak buah Erik ten Hag pastinya ingin menghalang City untuk menyamai pencapaian mereka.

Guardiola menyaksikan sendiri kemenangan United 4-1 ke atas Chelsea dan kenangan City tewas 1-2 di Old Trafford pada Januari yang masih menghantui dirinya.

"Saya lebih fokus kepada United sekarang. Saya melihat perlawanan mereka menentang Chelsea. Saya benar-benar kagum dan saya telah mula menyemak sedikit sebanyak apa yang mereka lakukan kepada kami dalam perlawanan di Old Trafford," kata Guardiola.

"Seperti dahulu, kita kena berhati-hati. Bagaimanapun, saya akan berhati-hati tetapi selepas Khamis dan perlawanan mereka baru-baru ini, kami akan menyediakan yang terbaik yang kami boleh."

Sementara itu Guardiola mengakui dia berdepan dilema dalam membuat pilihan daripada barisan penjaga golnya untuk menggalas tanggungjawab dalam perlawanan akhir esok.

Penjaga gol kedua, Stefan Ortega kerap diturunkan dalam saingan domestik pada musim ini namun 'magnitud' perlawanan esok nyata memeningkan pengendali City, Guardiola - untuk memilih sama ada menurunkan pemain berusia 30 tahun itu ataupun pilihan utama, Ederson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 10:11 AM