TENGKU Amir mahu melihat sendiri perkembangan terbaharu Faisal. FOTO FIRDAUS HASHIM
TENGKU Amir mahu melihat sendiri perkembangan terbaharu Faisal. FOTO FIRDAUS HASHIM
Firdaus Hashim


Shah Alam: Pengerusi Selangor FC, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hadir di hospital di sini, hari ini bagi menziarahi pemain Red Giants, Faisal Halim.

Tengku Amir sampai tepat jam 11.19 pagi bersama rombongan pengurusan tertinggi Selangor FC.

Kehadiran Tengku Amir ini pastinya untuk melihat sendiri perkembangan terbaharu Faisal selepas menjalani pembedahan kedua petang semalam.

Sebelum itu, beberapa jam lalu Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan kondisi atau keadaan terkini Faisal semakin stabil.

Katanya, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mengharungi pembedahan kedua selama tiga jam bagi memulihkan kecederaan akibat disimbah asid tempoh hari.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Faisal terpaksa mengharungi beberapa siri pembedahan bagi merawat lecur tahap empat.

Faisal disahkan doktor mengalami kecederaan di bahagian muka, leher, lengan dan badan kesan daripada curahan asid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 11:46 AM