AKSI Stuart Wilkin (kanan) diasak pemain Oman, Jameel Al Yahmadi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AKSI Stuart Wilkin (kanan) diasak pemain Oman, Jameel Al Yahmadi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman masih belum menutup pintu skuad Harimau Malaya untuk cuba melakar sejarah layak ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Nada yakin itu diluahkan tonggak tengah negara, Stuart Wilkin yang percaya peluang Malaysia masih ada biarpun kehilangan enam mata selepas dua kali tewas menerusi angka jaringan sama 0-2 kepada Oman di Muscat pada minggu lalu, dan malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Jelas pemain warisan itu, dua baki perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Taiwan perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan enam mata maksimum mampu diraih.

"Kredit kepada Oman kerana mereka adalah pasukan yang baik. Mereka tak bagi kami peluang tetapi ia amat mengecewakan.

"Pelbagai faktor boleh menjadi penentu keputusan dan kecergasan perlawanan adalah salah satunya tetapi kita bekerja keras sebagai satu pasukan dan mempunyai kecergasan yang cukup untuk beraksi tetapi sayangnya keputusan tidak menyebelahi.

"Selepas ini ia agak sukar tetapi bermula sekarang kami perlu kembali bekerja keras sebagai satu pasukan dan peluang masih ada untuk layak jika menang kedua-dua perlawanan kerana perkara positif mungkin berlaku," kata pemain Sabah FC itu.

Ketika ini, skaud negara berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata hasil kemenangan 4-3 ke atas Kyrgyzstan di SNBJ dan 1-0 membenam Taiwan di Taipei, pada November lalu.

Begitupun rekod bersih itu dicalar Oman sebanyak dua kali sekaligus Malaysia tiada pilihan lain apabila wajib mencatat kemenangan dalam dua baki aksi pada Jun nanti untuk memburu dua slot terbaik daripada Kumpulan D.

Kyrgyzstan dan Oman pula masing-masing mengumpul sembilan mata selepas empat perlawanan, manakala Taiwan kekal di tempat tercorot tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 12:54 PM