TORRES meraikan jaringan kedua untuk City. FOTO EPA
TORRES meraikan jaringan kedua untuk City. FOTO EPA
AFP

London: Manchester City semakin hampir untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana selepas menewaskan Crystal Palace 2-0, hari ini manakala Chelsea mengekalkan kedudukan keempat liga apabila mengatasi Fulham dengan jumlah jaringan sama.

Skuad bimbingan Pep Guardiola ketika ini selesa dengan kelebihan 13 mata di tangga teratas selepas Sergio Aguero dan Ferran Torres masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua di Selhurst Park.

City akan mengesahkan kejuaraan liga buat kali ketiga dalam tempoh empat musim jika pasukan di tempat kedua, Manchester United tewas kepada Liverpool di halaman sendiri, malam ini.

Andai United dapat mengelak daripada kekalahan, City boleh mengesahkan kejuaraan jika melakar kemenangan ke atas Chelsea di Stadium Etihad pada perlawanan seterusnya.

City yang tewas kepada Liverpool untuk perebutan kejuaraan liga musim lalu, bangkit daripada aksi hambar babak pertama dengan menyumbat dua gol dalam tempoh 84 saat di separuh masa kedua.

Aguero yang hanya melakukan penampilan kali keenam selepas dihantui kecederaan musim ini, memecah kebuntuan dengan menjaringkan gol minit ke-57 sebelum Torres menambah gol kedua minit ke-59.

City sudah memenangi Piala Liga musim ini dan berpeluang untuk menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara.

"Kami boleh mula memikirkan untuk kejuaraan. Liga Perdana semakin hampir dalam genggaman kami. Kami perlu satu lagi kemenangan," kata Guardiola.

"Saya gembira dengan kemenangan ini selepas mengharungi aksi di Liga Juara-Juara. Kami tidak beraksi dengan baik, bergelut sedikit pada separuh masa kedua tetapi masih berhak memenangi perlawanan ini.

"Saya akan melihat kepada perlawanan Liverpool. Ia semakin dalam genggaman dan kini kami boleh memberikan segala-galanya untuk menewaskan PSG (Paris Saint Germain) di Liga Juara-Juara."

Sementara itu, dua gol Kai Havertz menyaksikan Chelsea berjaya menewaskan Fulham pada pertemuan seteru setempat.

Ia memberi tonik terbaik kepada Chelsea yang akan beraksi pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid, Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 8:03 AM