Agensi

London: Pencarian pengurus baharu Manchester United dijangka mencapai kemuncak minggu ini ketika Thomas Tuchel dilapor terkeluar daripada persaingan.

Jim Ratcliffe berunding dengan bekas bos Chelsea, Tuchel di Monaco, Selasa lalu untuk mendengar perancangan warga Jerman itu jika beliau dipilih menggantikan Erik ten Hag.

Difahamkan, beliau sudah tidak berada dalam pertimbangan.

Ketika keputusan mengenai pengendali semasa Ten Hag belum dimuktamadkan, pegawai berunding dengan beberapa pengganti berpotensi termasuk bos Brentford, Thomas Frank; bekas pengurus Brighton, Roberto De Zerbi dan seorang lagi bekas bos Chelsea, Mauricio Pochettino.

Ratcliffe dan kumpulan INEOS menjalankan kajian mengenai kedudukan itu.

Kemenangan mengejut 2-1 dilakar United pada final Piala FA ke atas musuh setempat, Manchester City menyukarkan lagi keadaan dan dikatakan ia memperkukuhkan kes Ten Hag.

Ketika tidak diragui penamat tangga kelapan boleh dilihat sebagai pencapaian tidak memberangsangkan, faktor mitigasi - masalah kecederaan yang melanda kelab itu - dikenal pasti sebagai punca utama.

Ada teori dalam kalangan kumpulan itu menyatakan penilaian terhadap pengendali dari Belanda itu patut ditangguhkan hingga beliau berpeluang untuk bekerja dalam keadaan stabil, elit dan penuh sokongan yang cuba diterapkan Ratcliffe dan pasukannya.

TEN Hag (kanan) menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Man City di final pada 25 Mei lalu. FOTO AFP
TEN Hag (kanan) menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Man City di final pada 25 Mei lalu. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 1:16 PM