PEMAIN Vietnam cuba mengasak kubu negara. - FOTO FAM
PEMAIN Vietnam cuba mengasak kubu negara. - FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Vietnam Hoang Anh Tuan mengakui Malaysia lawan yang sukar sekali gus terpaksa mengubah taktikal pada saat akhir bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Ketika ini, nasib kedua-dua pasukan berubah pada perlawanan malam tadi apabila Vietnam sah menempah slot ke suku akhir manakala Malaysia pula boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan Piala Asia B-23 di Qatar.

Anh Tuan berkata, secara keseluruhan persembahan anak buahnya adalah baik terutamanya ketika menyerap segala tekanan dan serangan daripada anak buah Juan Torres Garrido.

"Saya tidak tahu perkataan apa yang lebih tepat untuk digunakan daripada berpuas hati untuk menggambarkan perlawanan ini. Setiap perlawanan kami akan bermain dengan lebih baik. Dari segi taktikal dan jaringan dalam aksi ini, pemain Vietnam layak menang."

"Seluruh pasukan bermain perlawanan yang sangat sukar menentang Malaysia. Saya katakan sebelum kejohanan, tiada pasukan yang lemah dalam kumpulan ini. Walaupun Vietnam menang, kami melalui masa sukar terutama pada minit terakhir separuh masa kedua."

"Saya terpaksa mengubah sedikit taktikal. Pada penghujungnya, Vietnam terpaksa mengekalkan kedudukan, jadi pasukan itu beralih dari menyerang balas kepada gaya bertahan untuk mencapai keputusan akhir," katanya.

Kempen skuad muda negara di Piala Asia B-23 berakhir lebih awal selepas tewas buat kali kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan D apabila tumbang 0-2 di tangan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha, Qatar malam tadi.

Kekalahan itu yang kedua selepas turut tewas 0-2 kepada Uzbekistan sekali gus kekal tanpa sebarang mata.

Malah, kegagalan bangkit memburu kemenangan turut menyaksikan impian untuk layak ke Sukan Olimpik Paris Julai ini terus kempunan selepas kali terakhir layak pada temasya 1980 lalu.

Gol skuad bimbingan Hoang Anh Tuan diraih menerusi sepakan percuma Khuat Van Khang pada minit 39 dan penalti yang disempurnakan Vo Hoang Minh Khoa pada minit ke-60.

Vietnam dan Uzbekistan kini masing-masing mengumpul 6 mata manakala Malaysia dan Kuwait pula masih belum meraih sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:06 PM